Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri menegaskan skuad bimbingannya tidak akan berputus asa bagi merebut kejuaraan Serie A.
Dalam pada itu, fokus beliau kini juga adalah untuk menghidupkan peluang bagi meraih kejuaraan keempat berturut-turut dalam saingan Coppa Italia.
Pendahulu Serie A, Napoli membelasah Cagliari 5-0 pada perlawanan liga bagi memberikan jurang empat mata di hadapan Juventus selepas pertemuan kelab Turin itu menentang Atalanta pada Ahad lalu terpaksa ditangguhkan akibat salji tebal di Stadium Allianz.
Juara bertahan enam musim berturut-turut itu bakal berkunjung ke Stadio Olimpico bagi pertemuan dengan Lazio pada hujung minggu ini.
Sekiranya Juventus mengalami kekalahan, ianya akan memberikan kelebihan yang lebih besar serta meningkatkan keyakinan buat skuad bimbingan Maurizio Sarri (Napoli) untuk menjuarai saingan liga yang kali terakhir dimenangi mereka pada musim 1989/90.
Bagaimanapun yang menjadi kerisauan utama buat Allegri adalah perlawanan separuh akhir kedua Coppa Italia bertemu Atalanta.
”Kami mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan. Kami akan bertemu Lazio pada Sabtu ini dan selepas itu kami mempunyai baki 12 perlawanan lagi,” kata pengurus tersebut dalam sidang media yang diadakan semalam.
”Kejuaraan akan berlangsung hingga hari terakhir dan dua pasukan akan bersaing. Siapa sahaja yang berada di hadapan pada 20 Mei nanti layak untuk memenangi gelaran tersebut.”
”Tetapi kami mempunyai perlawanan Coppa Italia pada hari esok, yang merupakan sasaran yang penting buat kami kerana tiada pasukan dalam era moden ini memenangi piala kebangsaan empat kejuaraan berturut-turut.”
”Kami mempunyai peluang yang besar untuk melakukannya pada musim ini, bersama-sama Paris Saint-Germain dan Barcelona (dalam piala domestik). Kami perlu fokus kepada Atalanta dan kemudiannya memikirkan tentang Lazio.’
Menjelang pertemuan penting tersebut, Allegri mendapat pengkhabaran gembira selepas penyerang utama, Gonzalo Higuain telah pulih dari kecederaan buku lali untuk kembali bersama pasukan di Turin.