Masihkah Ada Ruang Untuk Apek Kembali Bersama Harimau Malaya?

Apek Khairul Fahmi Che Mat

Siapa yang tidak kenal Apek? Ketangkasan penjaga gol Melaka United ini telah menghadiahkan kejuaraan tunggal Piala AFF Suzuki buat pasukan Malaysia di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal pada 2010 yang lalu.

Tetapi persoalannya adakah Apek atau nama sebenarnya, Khairul Fahmi Che Mat sudah kehilangan prestasi terbaiknya?

Dalam satu temubual bersama The Star, Apek mengakui beliau masih mempunyai hasrat untuk kembali menyertai skuad Harimau Malaya bagi menghadapi baki tiga perlawanan pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Oktober dan November ini.

Sungguhpun beliau percaya tiada jalan singkat dalam mencapai kejayaan, Apek yang menjadikan legenda Kelantan, Halim Napi sebagai idolanya percaya ianya tidak mustahil kerana baginya mana-mana pemain masih tetap berpeluang untuk mempamerkan aksi terbaik dan berbakti untuk negara.

Dengan saingan Liga Super hanya berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi, pemain kelahiran Kota Bharu ini merasakan beliau perlu bekerja keras untuk memastikan sasarannya untuk kembali beraksi untuk skuad kebangsaan pada tahun 2020 dapat direalisasikan.

Apek turut mengakui agak sukar untuk bersaing dengen beberapa penjaga gol tempatan seperti Farizal Marlias, Khairul Azhan Khalid, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Ifwat Akmal Che Kassim bagi merebut tiga slot dalam skuad negara, tetapi baginya tiada apa yang mustahil.

Beliau juga sedar, baki tujuh perlawanan yang sudah dirancang oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terlalu singkat dan mungkin tidak cukup untuk beliau kembali meyakinkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

“Sasaran saya tahun ini adalah kembali bersama skuad kebangsaan. Saya masih ada keyakinan itu selepas empat perlawanan Liga Super berlangsung tempoh hari,” kata bekas penjaga gol Kelantan yang kali terakhir beraksi untuk Malaysia ketika Piala AirMarine pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, kita berdepan krisis pandemik COVID-19 dan sudah tidak bermain bola sepak selama hampir tiga bulan. Apabila kembali nanti, kita hanya ada tujuh baki perlawanan sahaja untuk buktikan keupayaan.

“Ada banyak penjaga gol yang beraksi cemerlang di liga, malah mereka yang beraksi di Liga Premier juga berpotensi untuk dipanggil bersama skuad kebangsaan. Saya serahkan jurulatih untuk membuat keputusan, tetapi saya akan bekerja keras untuk mendapatkan tempat,” kata Apek lagi.

Pasukannya, Melaka United kini berdepan tempoh sukar selepas tergelincir ke zon penyingkiran selepas dihukum oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan penolakan tiga mata kerana gagal melunaskan tunggakan gaji pemain seperti mana perancangan kewangan yang telah dihantar kepada badan induk itu.

“Kami perlukan lebih banyak perlawanan untuk mendapatkan semula momentum dan tujuh perlawanan itu bagi saya terlalu sedikit. Tetapi sebagai pemain [profesional, saya akan berikan yang terbaik.”

Apek turut memaklumkan kelabnya kini secara beransur-ansur telah menyelesaikan gaji untuk bulan Januari, Februari dan Mac. Kini mereka sedang usahakan untuk menyelesaikan tunggakan gaji untuk April dan Mei.

“Keputusan mengenai pelarasan gaji masih belum dibuat, tetapi perbincangan itu masih berterusan. Kami faham pandemik ini telah menyebabkan situasi menjadi agak rumit, jadi kami harap pihak pengurusan dapat mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Khairul Fahmi Che Mat:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN