Barcelona, sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan tradisi dengan pelbagai kejayaan telah dikecapi juara 24 kali saingan La Liga ini.
Ketika gelaran ke-25 semakin hampir untuk digapai, Barcelona yang dibimbing Ernesto Valverde mencipta rekod baru buat La Liga apabila mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 33 perlawanan.
Rekod tersebut dicipta selepas The Blaugrana mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika menentang Celta Vigo di Estadio Municipal De Balaidos, walaupun terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas Sergi Roberto diperintah keluar padang pada minit ke-71.
Dengan keputusan tersebut menyaksikan Barcelona mencatatkan 25 kemenangan dan lapan keputusan seri musim ini pada aksi yang tinggal lima perlawanan sahaja lagi.
Dengan rentetan 33 perlawanan Barcelona tanpa sebarang kekalahan dalam saingan La Liga itu, ianya sekaligus meleburkan rekod sebelum ini dipegang oleh Real Sociedad, yang mencetak 32 perlawanan tanpa kekalahan pada musim 1979/80.
Jika dilihat diatas kertas, Real Madrid merupakan lawan paling sukar yang akan ditemui Andres Iniesta dan rakan sepasukan dalam baki lima lagi perlawanan La Liga.
Sekiranya Real Madrid gagal untuk menumpaskan Barcelona dalam aksi yang bakal berlangsung pada 6 Mei di Nou Camp nanti, tidak mustahil mereka mampu untuk menamatkan saingan musim ini tanpa sebarang kekalahan.
Namun, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku tanpa kita sangka.
Apa jua keadaannya di akhir musim nanti, Barcelona sudah pun melakar rekod baru buat kancah La Liga pada musim ini.