Era beliau bersama Barcelona kini sudah berakhir.
Pemain Barcelona, Javier Mascherano bakal meninggalkan kelab tersebut dalam masa terdekat.
Beliau akan menyertai kelab Chinese Super League (CSL) Hebei Fortune yang merupakan pasukan kendalian bekas pengurus Manchester City dan juga Real Madrid – Manuel Pellegrini.
Barcelona dikatakan mahu mengadakan satu majlis khas untuk mengenang jasa yang diberikan oleh Mascherano sepanjang beliau bergelar pemain Barcelona.
Menurut perancangan, majlis khas itu akan diadakan pada aksi Copa Del Rey di antara Barcelona dan juga Espanyol pada Rabu.
Perancangan yang setakat ini dilakukan secara rahsia ini pada mula tidak mendapat Mascherano.
Hal ini kerana, pemain tersebut dikatakan tidak gemar jika perhatian diberikan secara berlebihan kepada dirinya.
Namun begitu, pihak kelab berjaya menyakinkan beliau dan dijangka majlis tersebut akan dilangsungkan pada waktu yang telah dirancang.
Jersi nombor 14 Mascherano selepas ini bakal diisi oleh pemain baharu mereka iaitu Philippe Coutinho.
Menurut laporan dari Sepanyol, Mascherano turut telah diberikan jaminan oleh presiden kelab iaitu Josep Maria Bartomeu mengenai masa depan selepas bermain.
Bartomeu dikatakan telah memberikan jaminan kepada Mascherano untuk kembali ke Barcelona atas kapasiti jurulatih.