Quantcast

BERITA

Masa Depan Sylvano Comvalius Bersama Kuala Lumpur Masih Samar

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kemungkinan akan mengugurkan penyerang import mereka, Sylvano Comvalius pada pintu perpindahan kedua ekoran prestasinya yang kurang memuaskan dalam kempen Liga Super musim ini.

Malah, pemain kelahiran Belanda itu gagal berada dalam kesebelasan utama pasukan untuk tiga perlawanan berturut-turut selain masih bergelut dengan tahap kecederaannya.

Bekas pemain Bali United tersebut hanya sempat diturunkan dalam lima daripada enam perlawanan Liga Super 2019 dan telah menjaringkan satu gol ketika Kuala Lumpur tewas 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) awal Februari lalu.

FOTO: KL Hawks

Namun, kehadiran semula Guilherme De Paula sedikit melegakan skuad Warga Kota apabila membantu mencatatkan kemenangan sulung Liga Super musim ini dengan menundukkan Kedah 2-1 di Stadium Kuala Lumpur, kelmarin.

Bercakap kepada Kosmo, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa menjelaskan pihaknya belum ada kata putus mengenai masa depan pemain tersebut dan mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi pemain tersebut. 

“Memang ia merupakan salah satu daripada perancangan pasukan, namun KLFA belum memberikan sebarang kata putus terhadap status Comvalius.

“Perkara tersebut mula menjadi bualan apabila corak permainannya kurang bersesuaian dengan skuad Warga Kota malah perkara yang sama turut dirasai oleh pemain lain dalam pasukan.

“Apa pun kita akan melakukan perbincangan terlebih dahulu dan membuat penelitian secara terperinci sebelum memutuskan keputusan terhadap masa depan Comvalius dalam pasukan,” katanya.