“Terasa seperti di rumah sendiri,” begitulah kenyataan pemain sayap Kedah Darul Aman, Mahmoud Al-Mardi tentang perasaannya beraksi di sana.
Beliau merupakan pemain yang menyertai Kedah pada jendela pendaftaran pemain kedua Liga Malaysia pada Jun sebagai pengganti kepada Dennis Buschening yang mengalami kecederaan dan mengambil masa untuk pulih.
Walaupun tempoh yang singkat bersama Sang Kenari, sumbangannya banyak dalam membantu Kedah terutamanya dalam saingan Piala AFC.
Begitupun, mereka melalui musim yang suram apabila menamatkan musim di kedudukan ke-8 Liga Super – terburuk sejak kembali ke liga utama pada 2016. Ia membawa kepada pengakhiran jodoh Aidil Sharin Sahak di sana.
Baru-baru ini pengurusan Kedah mengumumkan akan menggugurkan semua pemain import musim ini selepas kegagalan yang dilalui.
Namun, segalanya masih belum dapat dimuktamadkan selagi pengendali baharu Kedah tidak diumumkan dek kerana masih terikat dengan kontrak.
“Kita merancang mendapatkan lima pemain import baharu untuk musim depan selaras dengan perancangan mahu memastikan kebangkitan pasukan musim depan.”
“Kita sudah mengenal pasti pemain akan dipilih nanti kerana ianya sesuatu tugas yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya agar kita dapat memilki pemain yang benar-benar memberi impak kepada pasukan pada musim depan.”
“Namun perancangan tersebut masih belum dapat diumumkan kerana perlu mendapat pengesahan dan kelulusan daripada ketua jurulatih yang akan membimbing pasukan pada musim depan.”
Khamal Idris Ali, CEO Kedah Darul Aman, Berita Harian
Bagi pemain import yang baru sahaja menyertai Kedah, Mahmoud Al-Mardi tentunya mengharapkan yang jodohnya lebih panjang bersama mereka.
Namun, menurutnya, segalanya masih belum jelas mengenai kontraknya. Beliau berkongsi perkara tersebut di akaun Facebooknya, sebentar tadi.
“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada penyokong atas sokongan mereka selama ini. Saya tahu, saya hanya bersama kelab ini dalam tempoh masa yang singkat, tetapi saya terasa seperti di rumah sendiri atas kasih sayang dan sokongan yang diterima.”
“Saya berbangga mewakili dan mengenakan logo pasukan. Dan untuk yang bertanya kemungkinan memperbaharui kontrak musim depan, sehingga sekarang saya masih belum jelas apa yang akan berlaku.”
Mahmoud Al-Mardi
Penyokong Kedah masih mengharapkan agar beberapa pemain import musim ini dikekalkan terutamanya Mahmoud yang cemerlang bagi mereka.
Now that Kedah’s campaign is over, here is an update.
Mahmoud Al-Mardi… Will soon join the 🇯🇴 national team to play against 🇪🇸 and 🇪🇬. 😂
Jokes aside, clubs in 🇰🇼 and 🇸🇦 have expressed interest in him. Nothing official from Kedah yet. Two 🇲🇾-an clubs have expressed interest
— T. Avineshwaran (@avineshW90) November 1, 2022
Menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, Mahmoud sedang dipantau beberapa pasukan dalam negara termasuklah dari luar negara antaranya dari Arab Saudi dan Kuwait. Dengan kenyataannya yang masih sayangkan Kedah dan penyokong masih mahukannya, rumusnya mudah sekali.
Kedah wajar kekalkan apa yang baik untuk pasukan dan bukan merombak perkara yang tiada kaitan dengan kegagalan pasukan pada musim ini.
Menggugurkan pemain seperti Mahmoud jelas sekali satu perkara yang perlu difikirkan sedalamnya, namun ia masih bergantung bagaimana perancangan pengendali baharu Sang Kenari – yang belum pasti siapa.