Ketika Manchester United sekadar seri 0-0 dengan AZ Alkmaar dalam (satu lagi) perlawanan hambar di Old Trafford dalam UEFA Europa League, seorang pemain yang pernah menyertai sesi percubaan dengan mereka telah pun menjaringkan dua gol dalam masa dua minit dalam kejohanan sama untuk Arsenal.
Penyerang muda Gabriel Martinelli kini telah menjaringkan empat gol secara keseluruhannya dalam hanya 2 permulaan untuk The Gunners selepas menumbangkan Standard Liege 4-0 awal pagi tadi.
Penyerang berusia 18 tahun ini menjadi sebutan di media sosial seluruh dunia berikutan prestasi semasanya yang cemerlang. Satu peningkatan menggalakkan bagi pemain yang hanya bernilai £6 juta yang banyak membuatkan penyokong Arsenal bertanya: “Siapa dia?” pada hari ketibaannya.
Peminat bola sepak Eropah kali pertama mendengar nama Martinelli apabila beliau menjadi pemain pertama dibeli Arsenal dalam jendela perpindahan musim panas, selepas menyertai dari kelab divisyen 4 Brazil, Ituano.
Dititip sebagai salah seorang bintang muda berpotensi besar (seperti beratus-ratus lagi pemain muda Brazil lain), Martinelli menarik perhatian penyokong Arsenal melalui footwork yang kemas dan kawalan cemerlangnya di ruang yang kecil.
Seperti Phillipe Coutinho, skil tersebut diasahnya dengan bermain futsal sejak kecil. Beliau merupakan salah seorang pemain futsal Corinthians dari umur 9 hingga 14 tahun sebelum menyertai Ituano pada tahun 2015.
Dalam satu temuramah bersama ESPN Brazil awal tahun ini, Martinelli turut mendedahkan beliau telah menyertai beberapa sesi percubaan dengan Manchester United dalam jangka masa 2 tahun sejak 2015.
Menurut laporan Manchester Evening News, Martinelli pernah bermain bersama Mason Greenwood dalam perlawanan persahabatan skuad remaja United menentang skuad bawah-18 Lincoln City. United menang 2-0 tetapi membuat keputusan untuk tidak mengambil Martinelli.
“Antara tahun 2015 hingga 2017, saya pernah pergi ke sana [Manchester United] 3-4 kali dan berlatih dalam 15 hari,” dedah beliau. “Saya jumpa dengan pemain senior sana. Saya tangkap gambar dengan [Patrice] Evra, [Marouane] Fellaini dan [Paul] Pogba.”
Pasukan Belgium, AA Gent dan Barcelona turut antara kelab yang menunjukkan minat terhadap Martinelli sebelum Arsenal menunjukkan minat konkrit untuk membawanya ke Eropah.
Martinelli, seperti banyak pemain muda lain, membesar dengan mengidolakan Cristiano Ronaldo. Beliau tidak berselindung untuk mengatakan beliau cuba ‘meniru’ gaya permainan penyerang Juventus itu.
Ketua jurulatihnya di Arsenal, Unai Emery jelas gembira dengan prestasi terkini Martinelli, tetapi tidak terbawa-bawa dengan potensinya.
“Perkara pertama dalam fikirannya malam ini adalah membantu pasukan,” kata Emery selepas kemenangan 4-0 ke atas Standard Liege.
“Saya beritahunya supaya bertenang kerana dia lebih suka main di sayap kiri. Kelajuannya bagus. Saya gunakannya sebagai penyerang kerana dia pernah main di situ ketika di Brazil. Saya beritahunya jika dia tenang, gol akan datang kerana peluang akan tiba.”
Hanya Tuhan saja yang tahu apakah Arsenal akan mendapat bintang baru atau Manchester United terlepas bintangnya dalam kes Martinelli.
Sudah banyak pasukan yang emnyaksikan ramai pemain muda mereka memenuhi potensi mereka di kelab lain, dan The Gunners tidak terkecuali.
Pada tahun 2016, mereka menjual Serge Gnabry ke Werder Bremen pada harga £5 juta. Penyerang sayap Jerman itu kembali ke London awal minggu ini dengan Bayern Munich dan menjaringkan 4 gol untuk membantu pasukannya membelasah musuh tradisi Arsenal, Tottenham Hotspur 7-2 dalam aksi UEFA Champions League.
Satu lagi bekas pemain emreka, Donyell Malen menjaringkan dua gol untuk emmbantu PSV menang 4-1 ke atas Rosenborg dalam satu lagi aksi Europa League. Penyerang muda ini sudah menjaringkan 12 gol dalam 8 perlawanan terkini PSV, termasuk satu gol ketika penampilan pertamanya untuk Belanda semasa menewaskan Jerman baru-baru ini.