Legenda Arsenal, Martin Keown beranggapan duo pertahanan The Gunners, David Luiz dan Shkodran Mustafi tidak mencapai tahap yang diperlukan kelab tersebut dan nyata kurang senang dengan sumbangan mereka.
Kehadiran Luiz mencetuskan kejutan apabila dibawa masuk oleh pengendali terdahulu, Unai Emery pada hari terakhir jendela perpindahan lalu dengan yuran perpindahan bernilai £8 juta.
Selepas itu, Luiz terus menjadi pilihan utama Emery bagi menggalas tanggungjawab bagi mengepalai benteng pertahanan Arsenal pada musim ini.
Di bawah ‘pemerintahan’ Mikel Arteta, pemain kelahiran Brazil itu terus mendapat kepercayaan meskipun aksinya sudah tidak kental seperti dahulu.
”David Luiz merisaukan saya kerana jika anda membayar £8 juta untuk mendapatkannya serta memberikan gaji sebanyak £5 juta untuk hanya berada di sini selama satu musim, saya tidak pasti kebijaksanaan mengenainya.”
”Adakah dia merupakan pertahanan yang tepat? Bolehkah dia beraksi dalam posisi bek berempat? Corak pertahanan terbaik dipamerkannya adalah ketika dia menjadi pemain bek bertiga di Chelsea dan mereka memenangi Liga Perdana Inggeris [musim 2016/17].”
”Dia kelihatan tidak senang dengan posisi itu, dia seringkali menjatuhkan pemain lawan dan Mustafi, walaupun mendapat kepercayaan Arteta, kita mengetahui bahawa Mustafi juga tidak berada di tahap yang begitu baik.”
‘”Saya tidak dapat melihat itu [mereka] akan menjadi gandingan jangka masa panjang buat jentera pertahanan Arsenal.”
”Ini adalah bahagian yang paling penting perlu dilakukan dengan baik olehnya [Mikel Arteta].”
”[Rob] Holding sedang mengalami kecederaan, sukar untuk menilainya, dia mungkin layak untuk mendapat satu lagi peluang.”
‘”Saya rasakan Sokratis [Papastathopoulos] boleh menjadi pemain pertahanan yang berguna buat Arsenal tetapi saya boleh memahami ketidakpastian dalam memberikan David Luiz kontrak baharu,” ujar Martin Keown menurut laporan Goal.