Anthony Martial dilaporkan oleh Sky Sports telah menolak tawaran kontrak baharu oleh Manchester United.
Namun demikian, kedua-dua pihak dikatakan akan terus duduk berbincang dalam usaha mencapai persetujuan untuk pemain itu terus kekal di Old Trafford.
United dikatakan mahu Martial menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkan pemain itu di Old Trafford untuk satu tempoh lama.
Kontrak asal pemain yang berasal dari Perancis itu akan tamat pada musim panas akan datang, tetapi mempunyai kedua-dua pihak punyai pilihan untuk kontrak tersebut disambung sehingga 2020.
Perbincangan dengan ejen Martial telah bermula sejak jendela perpindahan musim panas lalu, setelah Jose Mourinho pernah menyebut beliau tidak kisah jika pemain sayap itu dijual.
Sebagai respon, ejen kepada Martial turut berkata pemain itu tidak kisah untuk meninggalkan Manchester United.
Namun demikian, pengurusan tertinggi di Old Trafford diketuai oleh Ed Woodward tetap mahu mengekalkan pemain berusia 22 tahun itu kerana percaya beliau masih memiliki potensi untuk dibangunkan lebih jauh.
Martial tiba di Old Trafford pada 2015 ketika era Louis van Gaal dan menjadi pemain remaja termahal ketika itu dalam perjanjian yang boleh mencapai angka £58 juta dari AS Monaco.
Walaupun bukan pemain pilihan pertama di posisi kiri serangan United, Martial sudah pun menjaringkan tiga gol dari enam penampilan liga setakat ini, dan satu lagi gol dijaringkan melalui tiga penampilan di saingan UEFA Champions League.
Pemain itu menjaringkan 17 gol pada musim pertama beliau bersama Manchester United, termasuk gol hasil gerakan solo menarik dalam debut menentang Liverpool, namun gagal memberikan impak serupa dalam beberapa musim berikutnya.