Menurut satu sumber dari ESPN, kedudukan Anthony Martial berada pada kedudukan selamat untuk terus kekal di Old Trafford, kerana pemain tersebut dianggap ‘anak emas’ oleh Joel Glazer.
Ole Gunnar Solskjaer dan pengurus sebelumnya, Jose Mourinho sebelum ini pernah mempersoalkan mentaliti dan sikap pemain dari Perancis itu ketika latihan dan juga dalam perlawanan.
Sikap Martial dipersoal pengurus
Walaupun demikian, kedudukan Martial di Old Trafford kekal tidak terusik kerana beliau merupakan pemain kegemaran pemilik kelab.
Martial telah menandatangani kontrak jangka masa panjang pada Januari lalu, namun hanya menjaringkan dua gol dari 13 penampilan selepas itu.
Sebelum kontrak baharu tersebut ditandatangani, pemain tersebut menjaringkan sembilan gol dari 18 perlawanan sebelumnya.
Martial tidak berada di dalam kesebelasan utama Manchester United dalam perlawanan menentang Cardiff – walaupun kecederaan melanda Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez – sebaliknya Solskjaer memilih untuk memberi peluang kepada pemain muda berusia 17 tahun, Mason Greenwood.
Glazer pertahan Martial
12 bulan yang lalu masa depan Martial turut menjadi pertanyaan ketika era Mourinho. Namun percubaan untuk menjual pemain tersebut telah dihalang oleh Glazer melalui Naib Pengerusi kelab, Ed Woodward.
Malah pada hari ini, United dilaporkan bersedia untuk menolak sebarang bentuk tawaran yang cuba mendapatkan bekas pemain Monaco tersebut pada jendela perpindahan akan datang.
Ini bermakna Martial berkemungkinan besar akan kekal di dalam skuad kendalian Solskjaer pada musim hadapan, walaupun pengurus tersebut berjanji akan melakukan rombakan besar-besaran – setelah ketinggalan 32 mata dari juara, Manchester City.
Solskjaer perkuatkan United
Sumber dari ESPN turut mengesahkan Solskjaer mahu memperkuatkan setiap bahagian pasukan, dan akan membawa masuk sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan, seorang pemain tengah, dan seorang penyerang.
Solskjaer berkemungkinan akan membawa masuk sehingga lima pemain maksimum sebelum pemain-pemain lain diarah melaporkan diri untuk latihan pada 1 Julai aka datang.
Dua pemain senior, Antonio Valencia dan Ander Herrera sudah sah meninggalkan juara 20 kali Liga Inggeris itu. Beberapa pemain lain seperti Matteo Darmian, Marcos Rojo, Eric Bailly, Juan Mata, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez turut berkemungkinan akan dijual – untuk membenarkan Solskjaer membawa pemain baharu.
Malah kedudukan pemain bintang seperti Paul Pogba juga tidak selamat – sekiranya tawaran yang tepat tiba untuk pemain antarabangsa Perancis itu.