Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool, Mario Balotelli telah melengkapkan perpindahan ke Marseille daripada Nice semalam.
Marseille adalah kelab ketujuh yang disertai Balotelli sejak bergelar pemain bola sepak profesional. Marseille mengumumkan ketibaan Balotelli dengan sebuah video seperti di bawah.
Kontrak sementara
Pemain antarabangsa Itali berusia 28 tahun itu menyertai Marseille dengan kontrak sehingga ke penghujung musim ini, selepas dilepaskan oleh Nice.
Balotelli lulus ujian kesihatan pada Rabu lalu, dan jurulatih Rudi Garcia menyifatkan perpindahan tersebut sebagai ‘keutamaan utama’.
Kali terakhir Balotelli beraksi untuk Nice ialah pada 4 Disember lalu, selepas tidak mempunyai persefahaman dengan pengurus pasukan, Patrick Viera.
Gemilang lalu
Balotelli pernah dianggap sebagai antara pemain muda berpotensi untuk pergi jauh ketika bersama Inter Milan, sebelum menyertai Manchester City pada 2010, dimana beliau membantu The Citizen meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada 2011/12.
Beliau kemudian menyertai Liverpool selama semusim, sebelum menyertau AC Milan secara pinjaman – setelah turut beraksi bersama kelab San Siro itu selepas meninggalkan City.
Karier beliau bersama Nice bermula dengan baik, apabila menjaringkan 15 gol pada musim pertama, dan 18 gol di Ligue 1 pada musim 2017/18.
Digugurkan dari skuad Itali pada September 2018, Balotelli gagal menjaringkan sebarang gol sepanjang 10 perlawanan terakhir beliau beraksi untuk Nice.
Kelab baru
Marseille kini menduduki tangga ke-7 Ligue 1 dan penyerang sedia ada bergelut untuk menjaringkan gol. Kelab tersebut cuba untuk memancing Balotelli dari Nice sejak jendela perpindahan musim panas lalu.
Dua penyerang utama, Valere Germain dan Kostas Mitroglou, masing-masing hanya mampu menjaringkan tiga gol setakaat ini
Namun pengurus Marseille, Garcia membayangkan Balotelli tidak akan terus diturunkan untuk aksi menentang Lille pada awal pagi Sabtu (waktu Malaysia).