Bekas pemain pertahanan Bayern Munich, Markus Babbel berpendapat terlampau ramai di kalangan pemain di Bayern Munich pada hari ini berpendapat bahawa diri mereka adalah pemain bintang.
Selain daripada Arjen Robben yang dikritik ramai di atas peranannya untuk pemecatan Ancelotti, Babbel turut menujukan kritikan terus kepada seorang lagi pemain sayap Frank Ribery.
Markus Babbel jelas tidak senang dengan perkembangan terkini dari Allianz Arena terutama selepas pemecatan Carlo Ancelotti; hanya selepas setahun dilantik sebagai pengurus kelab Bavarian itu.
Babbel yang turut pernah beraksi di Liverpool berkata kebanyakkan pemain Bayern Munich pada hari ini terlalu bangga dengan kejayaan silam, dan menamakan Frank Ribery sebagai individu yang terlalu bangga.
Bercakap kepada Sky di Jerman, Babbel dipetik sebagai berkata:
“Frank Ribery tidak menjaringkan gol di pertandingan Champions League untuk 2 tahun.”
“Namun Ribery masih melihat dirinya setaraf dengan pemain seperti Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi. Hakikat yang sebenarnya sungguh berlainan. Sebenarnya, dia tidak berada di tahap itu.”
“Saya berasa tidak senang apabila secara tiba-tiba Ancelotti dipersalahkan untuk segala-galanya yang berlaku. Ribery telah menyumbang banyak untuk kelab dan merupakan pemain yang hebat untuk Bayern.”
“Namun pada pendapat saya pada hari ini ialah, Ribery bukan dirinya seperti sebelum ini.”
Kali terakhir Bayern Munich memenangi kejuaraan UEFA Champions League ialah pada 2013. Ribery yang sudah berusia 34 tahun pada hari ini turut beraksi dalam perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Wembley itu.
Bayern Munich menewaskan kelab senegara, Borussia Dortmund dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir tersebut. Arjen Robben turut menyumbang gol kemenangan untuk Bayern Munich pada malam tersebut.
Namun kekalahan 3-0 di tangan Paris Saint-Germain baru-baru ini dalam pertandingan yang sama mengundang pemecatan Carlo Ancelotti. Pengurus berbangsa Itali itu berjaya membawa Bayern Munich merangkul kejuaraan Bundesliga mereka pada musim lalu setelah mengambil alih jawatan pengurus daripada Pep Guardiola.
Frank Ribery dijangka akan tidak beraksi untuk hampir keseluruhan musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen di lutut ketika Bayern Munich mencatat keputusan seri 2-2 menentang Hertha Berlin.
Sumber:
1. Four Four Two (2017): Markus Babbel has slammed Franck Ribery in the wake of Carlo Ancelotti’s sacking as Bayern Munich head coach; https://www.fourfourtwo.com/news/ribery-thinks-he-ronaldo-and-messi#wBdrd1tE8TyMHlx6.99