Quantcast

BERITA

Mario Gomez Heret JDT Ke Mahkamah?

Bekas pengendali JDT, Mario Gomez akan memulakan tugasan bersama kelab baharunya di Liga Indonesia, Persib Bandung pada minggu hadapan.

Namun demikian Mario Gomez jelas masih mempunyai sesuatu yang belum selesai bersama bekas majikannya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam satu artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berbahasa Inggeris The Malay Mail Online, Mario Gomez dilaporkan akan mengheret pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibrahim (TMJ) ke mahkamah berhubung isu gaji tertunggak.

Mario Gomez diumumkan sebagai Ketua Jurulatih JDT.

Mario Gomez dipetik sebagai berkata dalam artikel tersebut:

“Kami akan berjumpa di mahkamah dalam masa terdekat. Mereka enggan membayar gaji saya. Peguam saya sedang bekerja untuk membawa kes saya ke FIFA.”

“Saya akan memberikan maklumat yang sensitif untuk diperkatakan di sini kepada FIFA” ujar Gomez kepada Mailsport ketika dihubungi dari Buenos Aries.

Pada 27 Ogos yang lalu, akhbar yang sama turut melaporkan Mario Gomez telah menggesa JDT melakukan penyelesaian segera ke atas tunggakan gaji beliau, atau akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

Sumber gambar: http://www.johortimes.my/

Gomez menjelaskan, setelah JDT tidak memerlukan khidmat beliau lagi pada Januari 2016, beliau sepatutnya masih dibayar gaji berdasarkan perjanjian yang terkandung di dalam kontrak.

Pengendali yang bertanggungjawab membawa JDT bergelar juara Piala AFC 2015 itu turut mengesahkan peguam TMJ turut telah tampil untuk melakukan perbincangan untuk tujuan penyelesaian, namun ia tidak dipersetujui oleh Gomez.

Selain daripada kejuaraan Piala AFC 2015, Mario Gomez turut membantu pasukan Harimau Selatan untuk bergelar juara Liga Super Malaysia pada 2015 dan 2016.

Mario Gomez turut terpilih sebagai penerima anugerah Jurulatih Terbaik 2015 Liga Malaysia dan turut membantu kelab bola sepak dari selatan tanah air itu bergelar juara Piala Sumbangsih pada 2016.

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Keputusan meninggalkan JDT selang beberapa hari sebelum sepak mula Liga Malaysia 2017 mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tanah air. Beliau digantikan oleh Benjamin Mora sebelum Ulisses Morais dari Portugal mengambil alih JDT pada pertengahan musim.

Nama Mario Gomez turut disebut bakal menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan pada Mac lalu, namun rundingan untuk menetapkan bayaran gaji pengendali dari Argentina tersebut telah membantutkan niat FAM.

Gomez menafikan beliau meminta jumlah bayaran yang tinggi, dan akhirnya Nelo Vingada telah dipilih untuk mengisi posisi tersebut.

Gomez turut dikaitkan dengan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA sebelum ini, sebelum menamatkan spekulasi dengan menyertai Persib Bandung bagi menggantikan Djajang Nurdjaman.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!