Mario Fernandes, Pahlawan Samba Rusia Yang Pernah Melawan Depresi Dan Kelaparan

Pengulas perlawanan terus melabel Mario Federnandes dengan ayat, dari hero menjadi ‘zero’. Namun sebenarnya, Mario Fernandes adalah hero sejati dalam dunia bola sepak.

Beliau salah seorang pemain yang paling menyerlah dalam temasya Piala Dunia 2018 yang dilangsungkan di hadapan penyokong mereka sendiri.

Beliau turut menghidupkan semula harapan negaranya ketika Croatia mendahului 2-1 pada masa tambahan yang tinggal 5 minit lagi.

Bak kata Sergio Ramos sebelum ini, tiada siapa yang boleh dipersalahkan hanya kerana gagal dalam penentuan penalti.

Jadi, hanya dengan satu kegagalan penalti pada penentuan penalti, ia tidak akan membuatkan Mario Fernandes sebagai pemain yang teruk.

Depresi dan kelaparan

Pada Mac 2009, Mario Fernandes berjaya mendapatkan kontrak profesional beliau dengan Gremio. Namun pada keesokan harinya, beliau dilaporkan hilang.

Polis melancarkan operasi mencari beliau selama 3 hari. Dan Mario Fernandes dijumpai 700 batu daripada Stadium Gremio.

Beliau melarikan diri dari kelabnya kerana risau akan diculik. Mario Fernandes mengelakkan diri daripada orang awam.

Ini kerana dia ada masalah depresi. Mario Fernandes kelaparan dan merindui kampung halamannya ataupun masalah homesick yang teruk.

Beliau tidak memaklumkan kepada Gremio yang dia mahu melawat bapa saudaranya di Jundiai dari Porto Alegre kerana mahu melepaskan rindu kepada keluarganya. Di sana, dia tiada duit dan kelaparan.

Masalah homesickness

Dalam satu temubual beliau dengan wartawan Goal.com beberapa tahun lalu, beliau menyatakan dia faham akan masalah homesickness yang teruk dihadapi beberapa atlet termasuk Jesus Navas.

“Ketika itu saya ada perasaan terlalu rindu dengan kampung, dan saya meninggalkan kelab.”

“Kenapa saya tak maklumkan kelab dahulu akan hal itu? Saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun ketika itu.”

“Namun satu perkara yang pasti, homesickness bukan satu masalah yang kelakar. Saya simpati dengan Jesus Navas yang menyatakan dia menghadapi kesukaran untuk memulakan karier di tempat yang jauh daripada kampung halamannya.”

Atasi depresi

Selepas itu, kelab beliau, Gremio mengesahkan yang Mario Fernandes ada depresi dan kelab tersebut telah membantu beliau untuk merawatnya. Ingat, dia tak self-diagnosed dia ada depresi ya.

Mario Fernandes berjaya mengatasi masalah tersebut selepas beberapa bulan. Beliau menyertai psikoterapi. Akhirnya Fernandes berjaya bermain bola sepak dengan gembira.

Terlebih gembira

Namun selepas itu beliau kemudian menjadi liar kerana terlalu lebih berhibur. Masalah yang kerap dihadapi pemain di Brazil apabila terlalu disanjung sebagai pemain bola sepak profesional.

Mario Fernandes mulai menukar dietnya kepada yang tidak sihat untuk atlet terutama sekali pizza dan makanan ringan dari McDonalds. Ini kerana dia tiada masa untuk menguruskan dirinya.

Mario mulai tidak mengikuti panduan diet yang ditetapkan kelab dan kerap minum alkohol. Beliau kerap ponteng latihan kerana mabuk dan pemakanan tidak dijaga.

“Saya minum banyak sekali. Kadangkala saya datang ke padang latihan dalam keadaan mabuk. Ketika itu saya berusia 19 tahun dan tinggal bersendirian di Porto Alegre. Tiada siapa melarang saya nak buat apa.”

“Hari-hari saya makan pizza dan McDonald. Pegawai pemakanan Gremio mendapat tahu hal itu dan memberikan arahan agar saya makan di dewan makan kelab sahaja.”

Dipanggil Selecao

‏Namun tiada siapa menafikan aksi beliau di atas padang. Pada 2011, beliau mendapat panggilan skuad kebangsaan Brazil. Itu adalah panggilan skuad senior.

Apa yang berlaku, Fernandes telah merosakkan peluang itu kerana berparti semalaman dan terlepas penerbangan pada sebelah sebelah pagi. Kesannya, beliau digantung daripada skuad Brazil untuk 3 tahun dan boleh mengemukakan rayuan.

Ke CSKA dan minat Real Madrid

Tidak lama kemudian, beliau mendapat perhatian daripada Real Madrid dan CSKA Moscow. Beliau tahu sudah tiba masanya dia untuk lebih serius dalam karier.

CSKA membeli beliau dengan nilai £9.4 juta untuk Mario Fernandes pada 2012. Presiden kelab, sangat percaya akan bakat beliau dan pada masa yang sama sedar akan minat Real Madrid.

Ketua pemantau bakat CSKA, Anton Yevemenov berkata:

“Beberapa hari selepas kami mendapatkan persetujuan daripada Mario dan Gremio, pasukan Real Madrid datang kepada beliau.”

“Real menawarkan harga jauh lebih tinggi daripada kami dan menawarkan Mario gaji jauh lebih besar.”

“Ejen beliau memberitahu saya akan hal itu dan saya melihat angka yang ditawarkan. Namun Mario komited dengan kami dan beliau memberitahu saya, kalau pun Real Madrid menawarkan beliau angka itu sebelum persetujuan dengan kami dicapai, beliau tetap mahu memilih kami.”

“Beliau tahu di Real Madrid, tiada jaminan menjadi pemain pasukan utama untuk beliau. Di sini, kami menjanjikan beliau kesebelasan utama secara automatik.”

“Namun beliau memberitahu, jika suatu hari nanti Real Madrid datang lagi kepada beliau, barulah beliau akan pergi sebagai pemain yang sudah stabil dan sudah bermain UCL bersama kelab kami.”

Menjadi ‘manusia’ di Rusia

Ketika di Rusia, beliau bukan sahaja menjadi seorang pemain bola sepak semata-mata, namun mulai menjadi ‘manusia’. Rakan beliau yang juga dari Brazil, Maicon antara yang banyak membimbing beliau.

Maicon mulai membawa Mario Fernandez mendekatkan diri dengan tuhan dan aktif bersama-sama dengan komuniti Brazil di Rusia bersembahyang di gereja.

Mario Fernandes mengakui, agama telah menjadikan beliau berubah daripada seorang kaki botol dan kaki parti larut malam.

Mario Fernandes sangat berhati-hati dalam perlakuan dan percakapan beliau lebih-lebih lagi beliau kini di tempat orang.

Tolak Brazil untuk balas jasa Rusia

Pada 2017, Brazil memanggil beliau sekali lagi. Namun selepas beberapa hari berfikir, Mario Fernandes mahu menunggu peluang untuk bermain dengan Rusia.

Beliau menyatakan dia lebih selesa mewakili Rusia jika ada peluang. Dan beliau berbincang dengan CEO CSKA Moscow, Roman Babayev yang memberitahu Mario Fernandes hanya perlu menunggu beberapa bulan untuk melayakkan beliau menjadi warganegara Rusia sebagai permastautin tetap.

Selepas 5 tahun tinggal di Rusia, beliau medapat taraf kerakyatan Rusia pada Oktober 2017. Beliau terus ditawarkan tempat dalam pasukan Rusia.

Fernandes tidak berfikir panjang dan menerima tawaran untuk mewakili Rusia. Ini kerana baginya peluang untuk bersama Brazil sudah tiada dan Rusia ada tempat yang istimewa di hati beliau selepas membantu beliau mengatasi masalah mental dan cara hidup.

Fernandes menyatakan:

“Rusia adalah rumah baru saya. Saya mahu membalas jasa negara ini, gereja di negara ini yang membantu saya berubah.”

Di Brazil, media di sana memanggil beliau pembelot kerana terbuka memberitahu dirinya lebih sayangkan Rusia.

Fernandes menjadi pemain penting Rusia dalam persediaan mereka untuk Piala Dunia 2018. Dan aksi beliau di negara konsisten, sama seperti di kelab.

Beliau melakukan 1 assist kepada Cheryshev dalam perlawanan menentang Mesir. Media Rusia mulai menganggap Mario Fernandes sebagai pemain yang sudah jauh daripada jangkaan mereka.

Namun pada perlawanan menentang Croatia di suku akhir, beliau telah gagal menyempurnakan penalti.

Walaupun Rusia gagal mara ke separuh akhir, Mario Fernandes antara pemain Rusia yang cemerlang membantu Rusia menutup mulut pengkritik yang awalnya meramalkan Rusia sebagai nagara hos yang paling lemah.

Rusia melangkah melepasi peringkat kumpulan yang menempatkan pasukan seperti Mesir dan Uruguay serta Arab Saudi. Mereka menjaringkan gol yang banyak di peringkat kumpulan dan mara sehingga ke suku akhir.

Mereka mara selepas menyingkirkan Sepanyol di peringkat 16 pasukan akhir. Mario Fernandes antara pemain yang cemerlang mengawal impak daripada Asensio dan Nacho. Beliau menjadi pemain kedua paling banyak bentesan.

Tiada siapa yang meletakkan Rusia harapan ketika itu, sama juga seperti mana ketika di peringkat kumpulan dengan 8 gol. Angka yang sama dicatatkan England dan hanya Belgium lebih baik (9).

Itulah kisah Mario Fernandes yang pernah berhadapan dengan masalah depresi dan kelaparan ketika muda.

Beliau juga menjadi inspirasi kepada ramai remaja di Rusia kerana usaha beliau mengubah dirinya dengan meninggalkan tabiat buruk beliau untuk berjaya bermain dalam pasukan Rusia di Piala Dunia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN