Penyerang Real Madrid, Mariano Diaz menegaskan beliau tidak terfikir untuk meninggalkan Santiago Bernabeu musim depan selepas menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Villareal CF di laman sendiri, kelmarin.
Diaz antara pemain yang bakal terancam dari skuad utama musim depan selepas gagal menunjukkan impak positif sejak kembali ke kelab itu pada Ogos 2018.
Real Madrid menandatangani semula penyerang kelahiran Republik Dominica itu dari kelab Perancis, Lyon dengan nilai 33 juta euro (RM159.44 juta).
Ketika bersama Lyon, Diaz telah berjaya menjadi peledak terbaik di Ligue 1 dengan menjaringkan 18 gol serta membuat tujuh umpanan bagi membantu Lyon menamatkan saingan di tempat ketiga liga.
Namun, apabila kembali menyarung jersi Real Madrid, Diaz dilihat bergelut untuk menunjukkan reputasi terbaiknya ketika di Lyon.
Setakat ini, beliau hanya menjaringkan tiga gol dari 13 penampilannya dalam saingan La Liga.
Tukar penyerang
Melihat prestasi yang kurang baik itu, pihak Real Madrid mula membuat perancangan awal untuk menukar Diaz dengan penyerang Eintracht Frankfurt, Luka Jovic.
Menurut beberapa laporan, Jovic dikabarkan akan menyertai Real Madrid dengan harga perpindahan sebanyak 60 juta euro.
https://twitter.com/RMadridHome_/status/1124845126453485569
Sementara itu, Franfurt juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Diaz dan mahu membuat perbincangan bersama Real Madrid bagi melakukan pertukaran pemain antara kedua-dua kelab tersebut.
Mahu kekal
Berita mengenai pertukaran pemain telah mendapat liputan meluas di media Eropah, termasuk Diaz sendiri.
Diaz yang ditemubual berkata, dia bagaimanapun tidak mahu pertukaran tersebut dilakukan dan berharap Real Madrid memberi peluang kepadanya untuk kekal dalam pasukan.
“Saya tidak mempunyai bola kristal (magis) tetapi saya ingin bertahan (di Madrid).”
“Saya sangat gembira ketika ini dan mari kita lihat apa yang terjadi selepas ini,” kata Diaz dipetik menerusi Football Espana.
Mengulas mengenai dua jaringan yang dihasilkannya dalam membantu pasukan menang keatas Villareal CF, Diaz berkata;
“Saya sangat gembira kerana saya menang di tempat sendiri dan menjaringkan gol. Kami suka dan peminat juga. Ini penting, walaupun jaringan akhir tidak begitu baik.”
“Mereka menjaringkan gol tetapi kami juga bermain dengan baik dan kami menguasai bola. Kami sangat gembira kerana kemenangan ini dan para peminat menerimanya dengan baik.”