Sebagai pemain bola sepak profesional, rutin harian yang dihadapi pemain-pemain berkelas dunia sudah pastinya sangat berdisiplin dan perkara itu juga turut dilalui oleh pemain Chelsea, Marcos Alonso.
Tonggak utama The Blues ini berjaya memenangi hati Antonio Conte selepas dibawa masuk ke Stamford Bridge pada musim lalu.
Dalam satu temubual yang dijalankan oleh laman web rasmi kelab, chelseafc.com, Alonso telah berkongsikan mengenai rutin sehariannya ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Cobham.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, beliau akan sampai ke pusat latihan kelab sejam sebelum latihan bermula. Selepas itu, beliau memilih sama ada untuk ke Gimnasium bagi latihan ringan atau ke bilik fisioterapi.
Sarapan pagi
Alonso kebiasaannya akan mengambil sarapan pagi di pusat latihan tersebut bersama rakan sepasukan yang lain dan meluangkan masa untuk berbual serta menikmati masa sebelum tenaga mereka ‘dikerah’ selepas itu.
Ketika ditanya mengenai makanan yang menjadi pilihannya ketika bersarapan, Alonso berkata: ”Ianya bergantung, mungkin telur, jika saya tiba satu atau satu jam setengah, atau bubur.”
”Tukang masak disini begitu mengambil berat tentang pemakanan kami dan segala yang kami nikmati sangat baik bagi kami bersedia untuk menjalani latihan.”
Kasut bola
Bagi pemilihan kasut bola pula, pemain kelahiran Madrid, Sepanyol ini lebih gemar menggunakan kasut yang sama ketika hari perlawanan untuk digunakan ketika sesi latihan.
Ianya dapat memberikan keselesaan dan Alonso berkongsikan bahawa beliau akan menggunakan hampir 8 hingga 10 pasang kasut bagi mengharungi satu musim.
Cuaca
Alonso lebih selesa berada dalam keadaan sesi latihan yang panas dan cerah.
”Saya tidak suka berlatih dan bermain dalam keadaan berangin. Itu adalah teruk. Kadangkala saya menyukai hujan tetapi tidak terlalu sejuk.”
”Selagi ianya panas, itu tiada masalah buat saya.”
Latihan tambahan
Menjadi lumrah seperti yang biasa kita dengari tentang pemain di luar negara, Marcos Alonso juga tidak terkecuali dengan aktiviti latihan tambahan ini.
Bagi Alonso, kadangkala beliau akan melakukan latihan tambahan sebelum dan selepas latihan pasukan bermula untuk membuatkan dirinya benar-benar bersedia.
Selepas sesi latihan, Alonso kadangkala akan meluangkan masa untuk mandi ais bagi proses pemulihan dan beliau tidak memilih mandi di kolam renang kerana amat tidak menyukainya.