Marco Silva menempelak tanggapan rakan sejawatannya di Liverpool, Jurgen Klopp yang menyifatkan derbi Merseyside seolah-olah perlawanan akhir Piala Dunia buat Everton.
Menurut sumber Sky Sports, Klopp mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:
”Anda akan menentang Everton dan kami semua tahu untuk mereka, ia seperti perlawanan akhir Piala Dunia.”
Pengurus Everton itu sebaliknya mengganggap derbi tersebut juga turut memberikan makna yang cukup signifikan buat Liverpool dan juga Everton.
Silva menyifatkan bahawa cara Klopp meraikan jaringan pada lewat permainan oleh Divock Origi juga menunjukkan derbi Merseyside ini begitu bermakna buat kem The Reds sehinggakan pengendali dari Jerman itu dihukum akibat perlakuan tersebut.
”Ini merupakan perlawanan yang istimewa buat kedua-dua pasukan, juga buat bandar ini, untuk penyokong kami ini adalah perlawanan yang istimewa, bagi penyokong mereka (Liverpool) ini juga merupakan perlawanan yang istimewa.”
”Saya tidak melihat perbezaan yang besar. Saya mengendalikan derbi Merseyside pertama saya pada Disember lalu dan apa yang saya rasakan ia merupakan perlawanan yang istimewa buat kedua-dua pasukan.”
”Mereka meraikan jaringan bertuah itu – saat yang bertuah mereka nikmati beberapa saat terakhir perlawanan – seperti ia adalah perlawanan akhir Piala Dunia buat kami dan juga mereka.”
Klopp kemudiannya dilaporkan telah menarik balik kata-katanya dengan mengakui bahawa pertembungan menarik itu memberikan makna yang sama buat kedua-dua pasukan.
”Semua orang bercakap mengenai Bayern Munich atau hanya berbicara tentang Manchester United. Tiada siapa yang bercakap mengenai Watford atau Everton.”
”Tetapi mereka semua sangat penting dan buat kami, kami adalah Liverpool, kami bermain menentang Everton dan bagi kami ia seperti perlawanan akhir Piala Dunia.”
”Ia bukannya perlawanan akhir Piala Dunia, pastinya, tetapi ia merupakan perlawanan yang sangat, sangat, sangat penting dalam musim ini. Bukan hanya kerana situasinya tetapi kerana sejarahnya.”
Kedua-dua pasukan berjiran tersebut akan bertemu pada pagi Isnin nanti di Goodison Park pada perlawanan ke-29 saingan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool masih menghuni tangga teratas dengan kelebihan satu mata di hadapan Manchester City manakala Everton pula di tempat ke-9 dengan 36 mata.