Pengurus skuad kebangsaan Hungary, Marco Rossi menyifatkan bahawa pemain yang semakin hampir untuk menyertai Manchester United secara rasmi, Daniel James adalah mirip Usain Bolt dan Ronaldo Luis Nazario.
Manchester United dan Swansea City dikatakan telah mencapai kesepakatan terhadap syarat-syarat perpindahan pemain berusia 21 tahun itu dan James juga sudah selesai menjalani ujian perubatan di Kompleks Latihan Aon.
Pengendali kelahiran Itali itu turut mengakui amat terkejut melihat kepantasan larian James dan menjelaskan beliau tidak pernah melihat kepantasan sedemikian sejak beraksi menentang Ronaldo (Brazil) di Itali.
Ketika itu Rossi beraksi sebagai pemain pertahanan untuk Piacenza manakala Ronaldo pula menjadi sandaran utama jentera serangan Inter Milan.
”Kepantasan James mengingatkan saya kepada Usain Bolt – untuk menjadi begitu pantas sepertinya adalah benar-benar luar biasa.”
”Pada tahun-tahun lalu saya tidak mengingati sekiranya ada seorang pemain yang memberikan saya sensasi sebegini.”
”Kepantasannya sangat aneh, itulah sebab mengapa Manchester United membelinya,” jelas Rossi bercakap kepada sidang media.
”Pada masa lalu ketika saya beraksi menentang pemain yang sangat laju, bagi saya selepas Maradona adalah Ronaldo.”
”Dia bukan sahaja terkenal dengan kepantasannya tetapi untuk segala-galanya. Kelajuannya kelihatan seperti James, walaupun pada masa itu kemahirannya sedikit berbeza.”
James yang mewakili Wales bakal menghadapi skuad bimbingan Rossi itu pada aksi kelayakan Kejuaraan Eropah 2020, awal pagi esok di Groupama Arena, Budapest.