Walaupun skuad Singa Utara dibarisi oleh ramai pemain tempatan yang berusia 30 tahun ke atas, bagi ketua jurulatih skuad itu, Manzoor Azwira Abdul Wahid, kehadiran pemain berpengalaman mampu menjadi kekuatan pasukan untuk membantu meraih pelbagai kejayaan.
Bercakap kepada Stadium Astro, beliau menjelaskan pasukan singa utara turut dibarisi oleh beberapa pemain muda yang berbakat dan kehadiran bintang ternama itu mampu membimbing mereka ketika sesi latihan.
“Saya boleh katakan bahawa separuh daripada pasukan dibarisi oleh pemain berusia 30 tahun dan ke atas tetapi berdasarkan pengalaman mereka, saya rasa ia dapat membantu pasukan.
“Ada pemain muda yang memerlukan kelibat senior untuk membantu ketika sesi latihan. Saya rasa ia cukup kuat untuk membantu pasukan,” katanya.
Antara pemain berpengalaman yang memperkuatkan Perlis bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan ialah bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi dan bekas penyerang JDT, Safee Sali.
Malah Perlis turut menandatangani bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan iaitu Azmi Muslim dan Amirizwan Taj Tajuddin serta anak jati Perlis sendiri Azmizi Azmi yang beraksi dengan PKNS FC musim lalu.
Teruja dengan kehadiran ramai penyokong Perlis
Jumaat lalu, ribuan penyokong Perlis membanjiri Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar untuk menyaksikan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super Kedah.
Manzoor mengakui terkejut dan tidak menyangka stadium mereka dipenuhi oleh para penyokong walaupun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengenakan harga tiket sebanyak RM10 sekeping.
Kehadiran penyokong yang ramai itu mengimbau nostalgia ketika bergelar pemain Perlis satu masa dahulu, dia berharap momentum itu mampu berterusan sehingga penghujung musim.
“Saya rasa terkejut kerana tak sangka ia sebegitu. Saya menjangkakan ramai tetapi tidaklah sehingga penuh stadium. Saya berharap ia satu permulaan baik untuk Perlis dan berterusan.
“Situasi itu sama, cuma kali ini sebagai jurulatih,” ujarnya