Penang memulakan cabaran pra-musim ini dengan sesuatu yang sangat positif biarpun ada banyak rombakan baharu dibuat, dengan sekelompok besar pemain baharu menyertai pasukan tersebut.
Terbaharu, pasukan tersebut berjaya menjuarai kejohanan pra-musim yang diberi nama Piala Harapan, selepas mereka menewaskan Selangor dengan keputusan 2-1 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Kejohanan yang pertama kali diperkenalkan itu telah membabitkan empat kelab iaitu Penang, Kedah Darul Aman, dan Selangor sudah pun tamat semalam dengan tuan rumah muncul juara untuk edisi sulung.
Pengendali Penang iaitu Manzoor Azwira menyifatkan platform Piala Harapan ini sebagai medan terbaik buat setiap pasukan terlibat, terutama sekali Penang untuk mempersiapkan diri sebelum Liga Super bermula.
“Pada pandangan saya, kejohanan ini merupakan sesuatu yang sangat bagus untuk semua pasukan dalam mempersiapkan diri dengan lebih baik.
“Dalam tempoh saingan ini berlangsung, saya dapat menguji kekuatan para pemain dengan sangat baik serta mereka mendapat minit permainan untuk menguji tahap kecergasan secara peribadi.
“Ianya juga menjadi tonik terbaik buat setiap pemain yang terlibat untuk mewujudkan sikap daya saing dengan lebih awal supaya mereka bersedia untuk kejohanan rasmi,” jelas Manzoor kepada kami.
Ketika ditanya tentang Penang, pengendali berbakat tersebut mengakui ada banyak peningkatan dipamerkan oleh para pemain kendaliannya kini.
“Walaupun kami berjaya menberi aksi yang bagus dalam kejohanan ini, tetapi untuk persaingan Liga Super segalanya masih jauh untuk diperkatakan.
“Aksi menentang Selangor ini merupakan medan terbaik buat saya untuk melihat bagaimana para pemain menyerap cabaran pihak lawan yang sangat baik.
“Untuk sasaran pula, saya melihat segalanya lebih musim ini. Maka kedudukan 10 terbaik pun sudah memadai buat kami.
“Tetapi jika kami berjaya meraihnya dengan lebih baik berbanding sasaran ini, saya akan anggap ianya sebagai bonus,” ulas beliau lagi.
Pada masa sama, Manzoor menganggap pertahanan baru Penang iaitu Rahmat Makasuf sebagai sesuatu yang sangat positif buat pasukan.
Walaupun begitu, tiada lagi jaminan buat Rahmat untuk mengekalkan tempat selaku pilihan utama dan menganggap ianya sebagai suatu variasi baharu buat taktikal pasukan.