Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid gembira mencapai satu daripada tiga misi tiga mata di laman sendiri yang diraih di Stadium Bandaraya.
Pulau Pinang merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi ke-6 Liga Premier 2020 yang berlangsung pada Jumaat. Ia merupakan kemenangan ke-4 mereka dan dua kemenangan berturut-turut pasca COVID-19.
Misi tiga mata maksimum di Bandaraya
Menurut Manzoor Azwira di sidang media, misinya selepas saingan liga kembali bersambung selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19 adalah untuk meraih mata maksimum di laman sendiri – berbaki tiga perlawanan di Stadium Bandaraya.
Saingan liga disingkatkan kepada hanya satu pusingan sahaja, menjadikan misi Harimau Kumbang sedikit terjejas kerana perlu segera menempatkan diri di kedudukan teratas liga bagi meraih promosi ke Liga Super musim hadapan.
Kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan telah menempatkan mereka sebagai pendahulu liga dengan 14 mata, berkongsi mata bersama Kuala Lumpur.
Menurut Manzoor Azwira, “Kita hanya ada tiga perlawanan di tempat sendiri, jadi memang harapan dan sasaran kita hendak dapat mata maksimum di tempat sendiri. Dan kita rasa amat bersyukurlah dengan tiga mata tersebut.”
Lebih banyak pemain menyerang di laman sendiri
Ketika ditanyakan mengenai kesebelasan utamanya yang ada rombakan kecil serta kemasukkan semula pemain asal Korea Selatan, Lee Chang-hoon, Manzoor Azwira menjelaskan yang beliau mahukan pasukan yang lebih menyerang kali ini.
“Sebagai tuan rumah, kita perlu main lebih menyerang lagi, sebab itu saya tukar sedikit formasi saya iaitu lebih banyak pemain menyerang dalam perlawanan malam ini,” ujarnya yang berpuas hati dengan persembahan para pemainnya.
“Lee Chang-hoon menjaringkan gol walaupun sudah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif. Bagi saya masih ada ruang untuk dia perbaiki permainannya bagi membantu pasukan dalam perlawanan akan datang,” tambahnya.
Di bawah kendalian Manzoor Azwira sejak pertengahan musim lalu, Pulau Pinang masih belum tewas dalam saingan Liga Premier – 16 perlawanan liga berturut-turut – dengan kali terakhir tewas pada April 2019, tunduk 1-2 kepada Kelantan.
Penutup
Selepas ini Pulau Pinang akan berkunjung ke Larkin untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II yang juga menang tipis 3-2 ke atas Terengganu FC II pada Sabtu. Menurutnya, ia satu perlawanan yang menjanji aksi sengit kedua-dua pasukan.
Ini kerana, JDT II tumbang kepada skuad kendaliannya di tempat sendiri pada musim lalu dengan keputusan 0-2 dan pastinya mereka mahu membalas dendam.
KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG