Bekas penyerang skuad kebangsaan serta berpengalaman luas dengan pernah beraksi di RC Strasbourg dan FCSR Haguenau di Perancis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, telah diumumkan sebagai pembantu jurulatih skuad Pulau Pinang, pada minggu lalu.
Pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dalam posting tersebut berharap yang kombinasi antaranya bersama Manzoor Azwira akan mampu melahirkan visi yang lebih segar kepada skuad Harimau Kumbang dalam saingan musim ini.
Pulau Pinang dalam misi memburu tiket promosi ke Liga Super 2021 selepas terpaksa ‘menyerahkan’ tiket promosi musim 2020 kepada PDRM setelah arahan pemotongan enam mata oleh FIFA atas masalah pembayaran gaji pemain import, Reinaldo Lobo.
Ketika dihubungi Semuanya BOLA, pengendali, Manzoor Azwira menjelaskan yang sudah lama perancangan untuk membawa masuk bekas pengendali skuad Piala Emas Raja-Raja Kedah itu.
Dilantik atas dasar pengalaman luasnya, Manzoor Azwira amat berharap yang jurulatih berusia 38 tahun itu mampu memberi tunjuk ajar kepada barisan serangan muda Pulau Pinang.
“Sebenarnya perkara ini [pelantikan Akmal Rizal] sudah ada dalam perancangan awal lagi. Tetapi, pada waktu itu, kita masih tunggu keputusan mengenai pemotongan mata. Sejak awal lagi, saya sudah cadangkan nama coach Akmal Rizal,” ujar Manzoor Azwira.
“Saya pernah bermain dengannya. Selain itu, pengalamannya sebagai penyerang di Malaysia, saya rasakan yang dia boleh bagi idea-idea dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda yang kita ada dalam pasukan,” jelas pengendali berusia 43 tahun itu lagi.
Manzoor Azwira turut menjelaskan akan ada yang mempersoalkan jawatan Akmal Rizal yang dilihat boleh menjadi ketua jurulatih, namun dalam bola sepak, ia bukan sesuatu yang mustahil.
“Baru umum sebab jika kita kembali ke Liga Super, kemungkinan saya akan jadi pembantu jurulatih. Jadi, bila sudah sah beraksi di Liga Premier, saya telah dikekalkan dan Akmal Rizal diumumkan sebagai pembantu jurulatih,” ujarnya mengenai pengumuman itu.
“Mungkin ramai yang berkata, dari segi pengalamannya mungkin Akmal Rizal sesuai untuk menjadi ketua jurulatih. Ia bukan sesuatu yang pelik untuk Akmal Rizal menjadi pembantu jurulatih.
“Pengalaman yang ada padanya sangat penting dan boleh bantu pasukan,” jelasnya lagi sambil memberikan contoh Mikel Arteta yang merupakan pengendali Arsenal ketika ini, juga bermula sebagai pembantu kepada Pep Guardiola di Manchester City.
Kredit Foto: FA Penang