Bekas kapten skuad Singa Utara, Manzoor Azwira Abd Wahid kini dilantik sebagai ketua Jurulatih pasukan Perlis FA yang baharu.
Manzoor yang mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih MOF FC itu pernah membantu pasukan itu menjuarai Liga Super dan Piala Malaysia sebagai pemain pada tahun 2004 hingga 2006.
Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang baharu, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Mohd Rafie, berkata kepada Berita Harian, pemilihan Manzoor Azwira dilihat tepat kerana jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu berpengalaman luas dan mempunyai misi yang selari dengan pengurusan PFA yang baharu.
“Selain pernah menyarung jersi Perlis, Manzoor adalah jurulatih yang cemerlang ketika bersama MOF FC apabila berjaya membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir Liga FAM.
“Malah, selain Perlis, Manzoor turut dilamar beberapa pasukan lain, namun atas faktor tertentu dia memilih untuk membimbing Perlis pada musim hadapan,” katanya pada sidang media semalam.
Ahmad Amizal turut berkata, pihaknya akan membuka dua sesi pemilihan pemain baharu Perlis FA iaitu pada 22 dan 29 Oktober ini.
“Pemilihan akan diadakan di Perlis (22 Oktober) dan Kuala Lumpur (29 Oktober).
“Selain itu, kita tidak menolak kemungkinan pemain daripada pasukan Qhaleefa MIB FC iaitu salah satu kelab di bawah naungan saya yang berpangkalan di Kuala Lumpur bakal bermain untuk Perlis,” katanya.
Perlantikan Manzoor Azwira sekaligus menafikan khabar angin mengenai bekas Ketua Jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusuf bakal menggalas tanggungjawab sebagai pengendali skuad utama PFA.
Ini susulan tersebarnya gambar Nidzam bersama Ahmad Amizal di bandar ini selepas beberapa hari pengurusan baharu dipilih untuk menerajui PFA.