Walaupun menang ke atas pencabar terdekat, Kuala Lumpur, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira menolak kenyataan skuadnya sudah menjuarai Liga Premier.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya, Harimau Kumbang meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur dan terus mendahului saingan liga dengan 20 mata, tiga mata di depan Kuala Lumpur yang menghuni kedudukan kedua.
Kuala Lumpur juga berpeluang
Sebelum aksi bermula, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hanya dipisahkan perbezaan gol dan pemenang untuk perlawanan ini dilihat berpeluang besar untuk dinobatkan selaku juara Liga Premier 2020 disamping meraih slot promosi ke Liga Super.
Perlawanan berlangsung sengit dengan akhirnya Pulau Pinang berjaya meledak jaringan kemenangan di penghujung perlawanan menerusi pertahanan tengah, Rafael Vitor. Pulau Pinang juga dua kali dinafikan gol oleh pengadil perlawanan malam tadi.
Pengendalinya, Manzoor Azwira ketika disoalkan mengenai kejuaraan liga berkata, “Saya rasa Kuala Lumpur juga masih berpeluang kerana tiga perlawanan bukan sesuatu yang mustahil [tergelincir] dan kami akan cuba pertahankan kedudukan.”
“Dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi. Saya anggap sehingga kita betul-betul mengesahkan yang kita juara, [barulah] kita akan iktiraf yang kita juara.” tambahnya.
Yang penting tiga mata
Musim lalu, Pulau Pinang telah berjaya meraih slot ke Liga Super, namun kesalahan lewat membayar tunggakan gaji bekas pemain, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama Harimau Kumbang pada musim 2016 – mereka dipotong enam mata.
Promosi ke Liga Super hanya bertahan tidak sampai 24 jam apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) keesokkan harinya memaklumkan pemotongan mata dan tiket Pulau Pinang dihadiahkan kepada PDRM. Ia satu pengalaman yang pahit.
Bercakap mengenai gol yang tidak dibenarkan oleh pengadil, Manzoor Azwira berkata, “Itulah bola sepak. Sebenarnya boleh saya katakan, dua gol ‘tambahan’ di babak pertama itu adalah gol. Tetapi apa boleh buat, itulah bola sepak.”
“Keadaan teknikal sebegitu, kita tidak mampu untuk buat apa-apa. Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, malam ini, Pulau Pinang dapat tiga mata berharga dan paling utamanya adalah hadiah untuk penyokong Pulau Pinang,” tambahnya lagi.
Penutup
Manzoor Azwira sebelum aksi mahu menghadiahkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur untuk para penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan padu walaupun ketika ini, penyokong tidak dibenarkan untuk berada di dalam stadium.
Promosi ke Liga Super sudah hampir menjadi realiti dan jika tiada sebarang masalah, beliau mungkin akan menjadi pengendali pertama dalam sejarah membawa skuad yang sama layak dua kali ke Liga Super – dua musim berturut-turut.
KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG