Walaupun beraksi di halaman sendiri, Selangor tetap berwaspada dengan ancaman barisan serangan yang dimiliki oleh Pahang apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu pada hari sabtu ini untuk perlawanan keempat saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.
Menurut pengendali skuad The Red Giants, P. Maniam, anak buahnya sememangnya tidak sabar untuk beraksi menentang skuad bimbingan Dollah Salleh itu untuk memastikan 3 mata penuh dapat diraihkan.
“Kami sudah lupakan kekalahan sebelum ini, saya percaya semua pemain sudah tidak sabar beraksi menentang Pahang.
“Saya sudah melakukan beberapa perubahan dari segi formasi dalam latihan dan pemain menunjukkan kesungguhan.
“Semua pemain dalam keadaan terbaik kecuali Alex (Azzamudin Akil) yang masih mengalami kecederaan manakala Ilham Udin Armaiyn sudah 90 peratus pulih daripada kecederaan buku lali, saya fikir dia OK dan boleh berlatih esok,” katanya kepada Berita Harian.
Maniam turut menyifatkan barisan serangan Pahang kali ini agak berbahaya dan mampu menghukum kelekaan barisan pertahanan pasukannya jika tidak memberikan sepenuh tumpuan ketika beraksi di atas padang.
“Kami bukan saja perlu mengawasi Forkey Doe, tapi (Mohamadou) Sumareh, Norshahrul (Idlan Talaha) dan Chan Vathanaka.
“Bahagian tengah mereka juga bagus kerana Safuwan (Baharudin) dan Nor Azam Azih mengawal dengan baik dalam perlawanan sebelum ini. Memang saya jangkakan ini perlawanan yang sukar,” katanya.
Kempen saingan Liga Super pasukan Selangor musim ini bermula dengan cemerlang apabila mencatat 2 kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan Melaka United.
Walaubagaimanapun, rentak cemerlang mereka terhenti seketika apabila tewas 1-4 kepada Terengganu FC sekaligus menafikan peluang untuk menduduki tangga teratas Liga Super.
Kemenangan ke atas Pahang akan memastikan mereka menduduki dalam kelompok 3 teratas Liga Super dan ianya bukan tugas mudah apatah lagi pasukan Pahang mempunyai reputasi selaku naib juara Liga Super musim lepas.
Sementara itu, penyerang import Pahang yang baru dibawa masuk pada saat akhir jendela perpindahan pertama Liga Malaysia iaitu Francis Forkey Doe tidak sabar turun ke padang untuk menewaskan bekas pasukannya musim lepas.
“Sudah pasti satu gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada saya. Malah, saya pasti gembira sekiranya dapat terus merobek gawang lawan termasuk Selangor Sabtu ini,” katanya