Malaysia berpeluang untuk merampas kedudukan teratas kumpulan daripada Myanmar apabila akan turun beraksi menentang Laos dalam aksi terakhir Kumpulan A, Sukan SEA 2017 malam ini.
Ketika ini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berkongsi 9 mata dengan Myanmar yang berada di puncak dengan kelebihan jaringan.
Sebelum Sepak Mula
Skuad muda negara dalam moral yang sangat baik selepas berjaya mencalar ego Myanmar seterusnya menempah tiket ke separuh akhir, Isnin lalu. Sebelum itu Malaysia berjaya menumbangkan seteru utama, Singapura dalam aksi ‘Seberang Tambak’.
Malaysia akan memintas kedudukan Myanmar selaku pendahulu kumpulan sekiranya berjaya memungut satu mata berdepan Laos.
Dengan situasi di Kumpulan B dilihat masih terbuka antara Vietnam, Thailand dan Indonesia, Malaysia perlu kekal fokus untuk meraih mata tanpa memikirkan lawan mana yang akan mereka temui di separuh akhir. Kim Swee menyatakan yang kemenangan tetap diburu dalam aksi terakhir ini.
Perubahan besar dalam kesebelasan utama dijangka akan berlaku. Selain untuk memberikan peluang kepada beberapa pemain yang jarang beraksi, ini adalah masa yang sesuai untuk Kim Swee merehatkan beberapa tonggak utamanya. Pastinya butang penggiliran pemain akan diaktifkan oleh beliau pada malam ini.
Dengan pilihan yang terhad, Kim Swee perlu mencongak dengan teliti pemain yang sesuai untuk direhatkan atau digilirkan tanpa menjejaskan tempo pasukan yang sedang menuju ke puncak prestasi. S. Kumaahran tampak hampir pasti tersisih akibat kecederaan serius di buku lali.
Pemain Tumpuan
Dengan tersisihnya Kumaahran, Kim Swee dijangkakan bakal mempertaruhkan jentera serangan berwajah baharu sekali lagi. Safawi Rasid juga pasti akan disimpan untuk aksi separuh akhir, Sabtu ini. Oleh itu, Syafiq Ahmad dijangkakan akan kembali tersenarai untuk menjadi penggempur utama skuad Harimau Muda.
Syafiq tenggelam dalam aksi pertama menentang Brunei dan tidak beraksi untuk dua perlawanan selepas itu. Inilah peluang untuk Syafiq kembali ke dalam skuad utama dan memikat Kim Swee dengan aksi yang lebih baik.
Syafiq dijangkakan mampu untuk mengegarkan jaring Laos, malam ini, kerana dalam edisi 2015 yang lalu, Syafiq telah menyumbang satu gol ketika berdepan lawan yang sama itu.
Dengan rombakan formasi yang tidak mustahil bakal berlaku, memungkinkan tiada lagi rangkaian tiga serangkai di jentera serangan. Syafiq bakal bergandingan dengan wira kemenangan ke atas Myanmar, N. Thanabalan, ataupun Jafri Firdaus Chew yang juga tersisih akibat prestasi yang kurang memuaskan.
Rekod Pertemuan Di Sukan SEA
Sejak edisi 2001, empat kali Malaysia dan Laos telah bertembung dengan semua perlawanan dimenangi oleh Malaysia. Kemenangan terbesar yang pernah direkodkan adalah pada edisi 2007 yang berlangsung di Thailand dengan Malaysia menang 4-0 hasil dua jaringan Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim.
Tiga pertembungan tersebut adalah dalam aksi kumpulan manakala satu pertembungan lagi adalah dalam aksi separuh akhir iaitu pada edisi 2009 di mana, Laos yang ketika itu tuan rumah tumbang 1-3 hasil dua jaringan Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim.
Rekod Semasa
Tiga aksi terkini skuad Malaysia:
- 14 Ogos: Malaysia 2-1 Brunei (Sukan SEA 2017)
- 16 Ogos: Singapura 1-2 Malaysia (Sukan SEA 2017)
- 21 Ogos: Malaysia 3-1 Myanmar (Sukan SEA 2017)
Tiga aksi terkini skuad Laos:
- 14 Julai: Myanmar 3-1 Laos (Sukan SEA 2017)
- 16 Julai: Laos 0-2 Singapura (Sukan SEA 2017)
- 18 Julai: Brunei 0-3 Laos (Sukan SEA 2017)
Ramalan Semuanya BOLA
Perlawanan barangkali akan berlangsung dengan tempo yang agak perlahan. Malaysia hanya memerlukan satu mata, sementara Laos sudah terkeluar daripada persaingan. Dengan Laos hanya mencatatkan satu kemenangan dalam aksi kumpulan setakat ini, Malaysia dijangkakan tiada masalah untuk meraih sesuatu dalam perlawanan ini.
Malaysia tidak pernah merekodkan kurang daripada tiga gol sepanjang empat pertemuan dengan Laos dari tahun 2001. Dan dengan moral serta prestasi pasukan yang sedang dalam fasa peningkatan, diharapkan ianya mampu diteruskan waima pertukaran atau penggiliran pemain dilakukan oleh Kim Swee.
Ramalan: Malaysia 3-0 Laos