Sadio Mane menjadi pemain terkini di kalangan pemain Liverpool yang mengalami kecederaan ketika melaksanakan tugasan antarabangsa.
Mane dilaporkan mengalami kecedraan tangan ketika bersama Senegal. Namun sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai tahap kecederaan pemain penyerang itu.
Sumber kepada ESPN FC berkata Liverpool sudah ambil maklum mengenai kecederaan yang menimpa Mane dan akan melakukan pemeriksaan lanjut selepas pemain itu kembali ke Anfield.
Sehingga kini tdak boleh dipastikan sama ada Mane akan meninggalkan kem latihan skuad Senegal lebih awal, menjelang perlawanan kelayakkan Piala Negara Afrika.
Selain daripada Mane, Mohamed Salah turut dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha selepas membantu Mesir menewaskan Swaziland pada Jumaat lalu. Kecederaan tersebut dilaporkan tidak serius, dan Salah sudah melapor kembali kepada Liverpool.
Pada masa yang sama Virgil van Dijk turut dihantar pulang dari kem Belanda sebagai langkah berjaga-jaga selepas perbincangan dilakukan di antara kem Belanda dan Liverpool.
Pemain pertahanan termahal dunia itu dilaporkan mengalami kecederaan di tulang rusuk pada bulan lalu, dan tidak akan beraksi untuk Belanda pada Selasa ini, selepas membantu negaranya menewaskan Jerman pada Jumaat.
Keadaan Van Dijk juga dilaporkan tidak serius, dan dikatakan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu nanti menentang Huddersfield.
Semua pemain lain yang tidak terlibat dengan tugasan antarabangsa telah kembali melaporkan diri di Melwood selepas diberi cuti rehat oleh pihak pengurusan Liverpool.