Kenapa Manchester United vs Liverpool Digelar Derbi?

Dalam terminologi bola sepak, istilah derbi merujuk kepada perseteruan 2 pasukan sebandar. Contoh paling popular adalah derbi Milano di antara AC Milan dan Inter Milan.

Perkataan derbi yang kami adaptasi daripada derby dari Bahasa Inggeris memiliki maksud yang sama di England mahupun di Amerika Syarikat di mana ia merujuk kepada 2 pasukan dari daerah yang sama.

Perkataan derby berasal dari daerah Ashbourne, Derbyshire di England. Sejak kurun ke-12, ada satu perlawanan bola sepak di antara golongan atasan dan golongan bawahan dianjurkan dan disebut Royal Shrovetide Football Match.

Namun bola sepak ketika itu dimainkan dengan bebas. Asalkan bola masuk ke dalam gawang. Jarak untuk 2 tiang gol mereka sangat jauh sekitar 3 batu. Satu berada di Nuns Mill di utara, dan satu lagi berada di Gallows Balk di selatan.

Apa? Anda berkata, besarnya padang? Maaf, tiada padang digunakan. Mereka bergerak bebas di mana sahaja, dengan apa sahaja cara.

Mereka akan merentasi hutan, sungai, lorong, pasar dan apa sahaja untuk memastikan bola itu sampai ke gawang lawan.

Jumlah pemain sangat ramai. Sehingga mencecah 1,000 orang yang akan terlibat. Mereka akan berjaga-jaga sepanjang masa memastikan bola tidak masuk ke gawang mereka.

Ianya masih menjadi tradisi masyarakat di sana sehingga ke hari ini.

Ramai tidak setuju dengan teori itu dan menyatakan, perkataan derbi pada hari ini sebenarnya dari sukan lumba kuda. Satu perlumbaan kuda telah diadakan di England hasil cetusan Edward Smith-Stanley yang digelar Earl of Derby sejak 1770-an lagi.

Kemudian, perkataan Derby telah digunakan secara meluas di England sejak 1840-an dalam pelbagai jenis sukan. Wujud perkataan local derby.

Akhbar pertama menggunakan perktaan derbi untuk bola sepak adalah Daily Express pada Oktober 1914. Mereka menulis:

‘A local Derby between Liverpool and Everton’.

Jadi, perseteruan Liverpool dan Everton yang panas kerana kontroversi kewujudan kelab Liverpool ketika itu telah membuatkan perkataan derbi ini digunakan secara meluas oleh peminat bola sepak. Mereka menerimanya sebagai terminologi baru dalam bola sepak.

Ego akan membawa kepada semangat mahu menjadi yang terbaik di sesuatu daerah walaupun perlawanan itu bukan final sekalipun. Pemenang Derbi akan dikira penguasa daerah sehinggalah pertemuan derbi yang akan datang.

Maka wujudlah istilah, London itu merah, London itu biru, Merseyside itu merah, Manchester itu biru dan sebagainya. Ianya merujuk kepada warna pasukan yang menang. Jika seri, dikira bandar itu dibelah 2, dikongsi bersama.

Dalam derbi, semangat pemilikan dan rasa ego yang tinggi boleh membawa kepada pergaduhan, insiden yang tidak diingini. Termasuk juga derbi antara sempadan melibatkan negara serumpun.

Sebab itu, pada perlawanan derbi, petugas polis dan keselamatan akan ditambah. Manakala dalam perlawanan pada musim perayaan seperti boxing day, biasanya peraturan boxing day adalah menemukan 2 pasukan paling hampir untuk mengelakkan peminat ‘travel’ terlalu jauh dan keletihan.

Namun, tidak digalakkan ada perlawanan derbi ketika boxing day. Kerana ia mampu menimbulkan perkara tak diingini pada hari satu bandar harus meraikannya.

Derbi antara kota (Inter City Derby)

Selepas wujud beberapa perseteruan di antara kota yang panas seperti derbi tempatan. Setiap pasukan mulai ada rasa ingin digelar yang terbaik di negara mereka ataupun di antara 2 perseteruan.

Maka wujud terma inter-city derby. Di Itali, Inter Milan dan Juventus menggelarkan mereka sebagai Derby d’Italia. Jarak mereka adalah lebih 120 kilometer.

Di Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona menggelar el-clasico sebagai derbi. Jarak 2 pasukan ini lebih 500 km. Kenapa ia digelar derbi? Ini kerana suhu panas perlawanan ini yang seperti derbi tempatan. Polis dan petugas keselamatan diperlukan lebih ramai.

Kawalan ketat di stadium serta jumlah penentuan kuota penyokong lawan akan dikaji sebaik mungkin. Itulah yang berlaku dalam pertemuan di antara Manchester United dan Liverpool.

Perlawanan ini adalah yang kedua paling kotor setakat ini dalam sejarah bola sepak Inggeris selepas Everton vs Liverpool.

Perseteruan ataupun rivalry 2 pasukan ini membuatkan ianya digelar North-West derby. 2 pasukan ini sebenarnya berada di Utara Inggeris. Hanya dipisahkan 54 Kilometer. Jika di Malaysia, mudah sahaja kita terus menganggap ia derbi.

Semangat persaingan 2 bandar Manchester dan Liverpool wujud sejak dulu lagi pada revolusi perindustrian di Britain.

2 pasukan ini adalah mewakili pasukan terbaik dari bandar kedua-dua pasukan. Oleh sebab itu, Everton dan Manchester City tidak menggambarkan mereka sebagai wakil terbaik 2 bandar ini.

Alex Ferguson pernah memberitahu, untuk melihat Manchester City menjadi lebih baik daripada Manchester United, adalah perkara yang tak akan berlaku pada hayat beliau.

Pada 2010, Sir Alex Ferguson menyifatkan seteru utama Manchester United adalah Liverpool bukannya Manchester City. Ferguson menghangatkan sidang media tidak lama selepas itu dengan melabel City hanyalah jiran bising mereka.

Itulah serba sedikit tentang antara perseteruan terbesar dalam bola sepak Inggeris. Hari ini dunia ibarat akan berhenti seketika untuk 90 minit ke arah perlawanan yang berlangsung di Old Trafford.

Kekalahan adalah bukan sesuatu yang diterima untuk perlawanan ini. Kekalahan perlawanan ini jauh lebih teruk daripada tewas dengan pasukan divisyen 4.

Perlawanan yang menemukan 2 pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris. Mereka juga 2 pasukan Inggeris yang paling berjaya di pentas Eropah.

Bayangkan pada 2015, ketika kedua-dua pasukan bergelut dengan prestasi, derbi ini masih berjaya menarik 700 juta tontonan. Mengatasi el clasico yang tengah panas dengan 500 juta tontonan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN