Manchester United tidak berdepan masalah untuk melepasi cabaran dalam pusingan ke-4 Piala FA setelah menumpaskan pasukan di EFL League Two, Yeovil Town 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Huish Park awal pagi tadi.
Perlawanan itu juga menyaksikan penampilan pertama buat pemain yang baru sahaja direkrut oleh Jose Mourinho dari Arsenal iaitu Alexis Sanchez.
Bintang antarabangsa Chile itu sempat beraksi selama 72 minit sebelum beliau digantikan dengan Jesse Lingard.
Walaupun Yeovil Town bukanlah lawan yang setanding dengan kelab yang kini berada di tempat kedua Liga Perdana Inggeris tersebut, kelab bimbingan Darren Way itu tidak memberikan laluan yang mudah buat United.
Mereka sempat beberapa kali menguji ke kubu Manchester United yang dikawal oleh Sergio Romero, namun ketangkasan Romero menggagalkan usaha Yeovil untuk menggembirakan penyokong di laman sendiri.
Manchester United memerlukan sehingga minit ke-41 untuk mencipta jaringan pembukaan menerusi Marcus Rashford.
Jaringan tersebut berpunca daripada umpanan Sanchez yang berjaya dirampas oleh pertahanan Yeovil, Thomas James, namun pertahanan tersebut gagal mengawal dengan baik lalu Rashford mendapatkan semula bola bagi menyempurnakan peluang yang terhidang.
Memasuki babak kedua, Manchester United terus menekan ke kubu Yeovil untuk terus mencari jaringan dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-61.
Ander Herrera meletakkan nama selaku penjaring kedua selepas beliau meledakkan rembatan dalam kotak penalti setelah menerima hantaran dari Sanchez.
United berjaya menambah dua lagi jaringan pantas pada minit-minit akhir permainan dengan Jesse Lingard (minit 89) dan Romelu Lukaku (minit 90) masing-masing meledakkan jaringan untuk keputusan penuh Manchester United menumpaskan Yeovil Town 4-0.