Manchester United menamatkan perbincangan mereka untuk mendapatkan Paulo Dybala, dipercayai disebabkan oleh permintaan gaji yang terlalu tinggi oleh penyerang Juventus itu.
United sebelum ini dilaporkan aktif berbincang untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Argentina tersebut sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran pemain melibatkan Romelu Lukaku yang akan ke Turin.
Selain daripada prihal gaji, United dikatakan turut ragu sama ada pemain itu benar-benar mahu beraksi untuk kelab tersebut.
Sky sources: Manchester United end their interest in Juventus forward Paulo Dybala.
— Sky Sports News (@SkySportsNews) August 4, 2019
Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini pernah berkata United hanya akan mensasarkan pemain muda, dan dahagakan kejayaan. Jika perpindahan untuk Dybala diteruskan, itu bermakna perpindahan tersebut tidak mengikuti perancangan asal seperti yang telah ditetapkan untuk membina kembali pasukan ini.
Dybala menyertai Juventus dari Palermo pada 2015 dan menjaringkan 10 gol untuk kelab Turin itu pada musim lalu.
Man Utd have ended talks with Paulo Dybala, but Inter Milan boss Antonio Conte revealed he is still hopeful of signing Romelu Lukaku.https://t.co/NPzVjpVf7q pic.twitter.com/Isz09oj6oa
— BBC Sport (@BBCSport) August 4, 2019
Tindakan United menamatkan minat terhadap Dybala membuatkan masa depan Lukaku terus menjadi tanda tanya. Pemain itu jelas tiada dalam perancangan Solskjaer yang mahukan pemain yang boleh menggerakkan bola dengan lebih pantas dalam corak permainan.
Bulan lalu United telah menolak bidaan £53.9 juta dari Inter Milan. Namun ia tidak pernah menghalang Antonio Conte untuk terus berharap Lukaku akan ke San Siro. Belum ada sebarang bidaan tambahan daripada Inter dilaporkan setakat ini untuk penyerang Belgium itu.