Cristiano Ronaldo adalah pemain berstatus legenda di Old Trafford. Ini adalah kerana Manchester United berada di prestasi terbaik ketika bintang Portugal itu menyarung jersi pasukan itu di antara tahun 2003 sehingga 2009.
Sepanjang enam musim bersama Manchester United, Ronaldo telah membantu kelab Manchester itu muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selama tiga musim berturut-turut di antara tahun 2006 sehingga 2009.
Selain daripada kejuaraan Piala FA pada musim 2003/04, Ronaldo turut membantu pasukan yang berada di bawah kendalian Sir Alex Ferguson pada ketika itu menjuarai pertandingan UEFA Champions League pada musim 2007/08.
Padah peminat fanatik Ronaldo
Walaupun Ronaldo sudah pun meninggalkan Old Trafford lebih sembilan tahun yang lalu, tidak boleh dinafikan pemain itu masih mempunyai ramai peminat di kalangan penyokong setia Manchester United.
Kali ini ia telah memberi padah kepada kelab tersebut, selepas UEFA mendenda Manchester United sebanyak €8,000 disebabkan perbuatan seorang penyokong yang terlampau obses dengan pemain itu.
Kelab Manchester itu didenda oleh badan induk bola sepak eropah itu selepas beberapa orang penyokong menceroboh memasuki padang ketika perlawanan untuk bertemu secara bersemuka dengan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu.
Kejadian berlaku ketika perlawanan pada 24 Oktober lalu – di mana Juventus merekodkan kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal Paulo Dybala. Walaupun masih disanjung di Old Trafford, Ronaldo tetap menampilkan permainan bertenaga – yang turut menghasilkan bantuan gol buat rakan sepasukan beliau dari Argentina itu.
Bukan pertama kali
Hukuman terhadap Manchester United disahkan oleh UEFA pada Jumaat lalu. Namun ini bukan pertama kali kelab tersebut berhadapan dengan hukuman oleh badan induk bola sepak Eropah tersebut pada musim ini.
Sebelum perlawanan menentang Juventus, Manchester United turut didenda sebanyak €15,000 selepas lewat hadir ke stadium akibat kesesakan jalan raya – mengakibatkan sepak mula di Old Trafford ditunda selama lima minit.
Manchester United kini menduduki tangga kedua Kumpulan H saingan UEFA Champions League, dan bakal berhadapan dengan Young Boys pada awal pagi Rabu, selepas berjaya menewaskan Juventus 2-1 di Turin pada 8 November lalu.