Pemain tengah Manchester City, İlkay Gundogan memulakan ‘perang psikologi’ keatas Manchester United dengan memberi gambaran awal bahawa pasukan itu bukanlah sebagai pasukan yang akan memberi ancaman buat The Cityzens bagi perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim ini.
Sebaliknya, pemain berusia 27 tahun itu menganggap bahawa cabaran hebat yang bakal ditempuhi pasukannya itu adalah akan datang dari Chelsea dan Liverpool.
Pandangan tersebut diberikan apabila beliau menjawab pertanyaan dari seorang peminat di laman Instagram miliknya, ilkayguendogan.
Gündoğan diajukan soalan mengenai pasukan manakah yang akan memenangi gelaran musim ini jika pasukan Pep Guardiola gagal mempertahankan kejuaraan tersebut.
Beliau menulis, ‘Chelsea dan Liverpool seolah-olah akan menjadi pesaing terkuat pada tahun ini.’
Mungkin kejayaan Chelsea dan Liverpool yang berjaya mendapatkan pemain yang lebih baik berbanding Manchester United telah membuatkan Gündoğan tidak yakin dengan kemampuan Red Devils pada musim ini.
Chelsea telah melakukan perubahan dalam struktur kejurulatihan dengan melakukan pertukaran Antonio Conte kepada Maurizio Sarri.
The Blues telah berjaya memiliki Jorginho dari Napoli serta mereka juga berjaya mendapatkan Matteo Kovacic secara pinjaman dari Real Madrid.
Selain itu juga, The Blues juga telah berjaya mendatangkan penjaga gol Kepa Arrizabalaga bagi mengantikan Thibaut Courtois.
Sementara di kem Liverpool pula, The Reds telah berjaya merekrut pemain seperti Naby Keita, Fabinho, Xherdan Shaqiri dan Alisson Becker bagi mempertambahkan kekuatan pasukan itu pada musim ini.
Tetapi, bagi Manchester United, pasukan itu dilihat tidak terlalu aktif dalam urusan perpindahan pemain pada kali ini.
Mereka hanya berjaya mendatangkan Fred, Diogo Dalot dan Lee Grant.
Kehadiran pemain-pemain tersebut dinilai masih belum cukup untuk memberi kekuatan buat skuad Jose Mourinho untuk menghadapi saingan liga sekaligus menjadi persiang terhebat buat Manchester City pada kali ini.
Melihat pada situasi tersebut, maka tidak hairanlah jika United tidak termasuk dalam senarai Gundogan sebagai pesaing utama pasukannya dalam perebuta Liga Perdana Inggeris untuk musim 2018/19.