Manchester United dilaporkan telah bersetuju mengadakan perbincangan bagi proses perpindahan pemain tengah mereka, Marouane Fellaini ke kelab Liga Super China, Shandong Luneng.
Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan BBC, perpindahan tersebut mungkin akan tertangguh ketika pasaran perpindahan China ditutup hingga 28 Februari hadapan.
Sebelum ini, BBC mendedahkan bahawa pemain kebangsaan Belgium tersebut telah menunjukkan minat untuk menerima tawaran dari Shandong Luneng meskipun beliau baru sahaja memperbaharui kontrak dua tahun bersama United hingga 2020 pada musim panas lalu.
Pemain tengah berusia 31 tahun menyertai Manchester United pada 2013 ketika kelab tersebut kendalikan oleh David Moyes dengan harga perpindahan dicatatkan sebanyak £27.5 juta (RM148 juta).
Sejak tiba di Old Trafford, Fellaini kerap menikmati aksi utama di bawah kendalian bekas pengurus United, David Moyes, Louis van Gaal dan Jose Mourinho yang gemar menggunakannya sebagai pembantu penyerang.
Namun begitu, sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih tugas dari Mourinho, Fellaini sering diletakkan sebagai pemain cadangan di bangku simpan.
Setakat ini, beliau hanya sekali diberikan peluang beraksi sebagai pemain gantian di dalam perlawanan Piala FA menentang Reading yang menyaksikan Man. United menang 2-0.
✈ Marouane #Fellaini shared a picture on his Instagram story at Brussels Airport as he prepared to jet off to China and seal his move to Shandong Luneng Taishan. pic.twitter.com/XqSLZumDn5
— All Football App (@allfootballapp) January 31, 2019
Semasa kelab dibimbing oleh Moyes, Fellaini telah melakukan sebanyak 141 penampilan EPL, dan berjaya menjaringkan 25 gol serta mencipta 14 bantuan gol.
Kemudian, dibawah Louis van Gaal dan Jose Mourinho, beliau telah mencetak 22 gol dalam 177 penampilan dalam semua perlawanan yang melibatkan pasukan.
Fellaini membantu United memenangi trofi Piala FA pada tahun 2016 serta Liga Europa dan Piala Liga pada tahun 2017.