Manchester City telah mengumumkan pemain terbaru mereka, namun bukan untuk bermain bola sepak. Pemain tersebut hanya akan mewakili kelab tersebut dalam acara e-sports!
Bintang muda yang bakal menyinar
Kieran ‘Kez’ Brown, yang baru berusia 18 telah menjadi pemain sulung e-sports kelab Manchester City. Beliau bakal mewakili The Citizens dalam kejohanan FIFA, mengadakan sesi live streaming melalui Twitch dan membuat video untuk saluran rasmi YouTube kelab.
Selain itu, beliau juga bakal mencabar beberapa peminat Manchester City untuk berentap dengannya di acara-acara rasmi kelab.
Ketika ini kelab-kelab bola sepak Eropah sedang giat mencari gamers yang hebat untuk mewakili masing-masing.
Pada bulan Mei yang lalu, West Ham United telah menandatangani naib juara pertandingan FIFA 2016 yang berusia 24 tahun dari Jerman yang bernama Sean “Dragonn” Allen.
Sebelum itu, pasukan Wolfsburg juga telah menandatangani seorang permain e-sports mereka dari Wolverhampton, Dave Bytheway pada bulan Februari.
Evolusi semula jadi Manchester City
Menurut Naib Presiden Unit Media & Inovasi Manchester City, Diego Gigloani menandatangi FIFA gamers adalah petanda bola sepak sedang berevolusi.
“Ini adalah evolusi semulajadi kelab Manchester City. Kami sudah lama berkerjasama dengan rakan perniagaan kami, EA Sports dan FIFA”.
Pada hari pertandingan, Kieran ‘Kez’ Brown akan mewakili Manchester City dalam pertandingan FIFA. Tetapi di luar hari pertandingan, beliau akan menyertai unit media untuk menghasilkan rancangan untuk saluran Youtube kelabnya.
“Apabila kami mencari pemain e-sports, kami mahukan bukan sahaja seorang gamers yang menakjubkan, muda dan berbakat. Kami juga mahukan seorang yang mampu berinteraksi dengan bijak dengan peminat-peminat kami di seluruh dunia.”
“Kemi percaya yang Kieran memiliki kesemua ciri tersebut.”
Acara sukan e-sports lain
Selain pembabitan dalam cabang permainan video bola sepak, kelab-kelab bola sepak yang lain juga membuat pelaburan dalam acara e-sports yang lain.
Seteru utama Manchester City, Manchester United juga dilaporkan sedang melamar sekumpulan pemain e-sports dari Eropah untuk mewakili mereka dalam permainan Overwatch; sebuah permainan first-person shooter.
Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pasukan Bundesliga, Schalke 04 mempunyai pasukan League of Legends (LoL) mereka sendiri.
Dalam pada itu, pemilik kelab Arsenal iaitu Alisher Usmanov juga telah melaburkan $100 juta ke dalam Virtus.pro, platform gaming terbesar Russia pada bulan Oktober tahun lalu. E-sports kini dilihat mempunyai masa depan yang cerah di bumi Eropah.
FIFA di Malaysia
Tahukah anda, Malaysia juga mempunyai pasukan e-sports FIFA sendiri yang dikenali sebagai Team Infinite? Baru-baru ini mereka telah mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara FIFA16 kejohanan AGES seluruh ASEAN.
Lebih manis apabila di peringkat akhir, kedua-dua peserta yang layak adalah dari pasukan yang mewakili Malaysia.
Tak mustahil pada satu hari nanti, ahli-ahli Team Infinite pula akan direkrut kelab-kelab bola sepak untuk mewakili mereka dalam acara e-sports.
Baca juga: West Ham Ikut Jejak Wolfsburg, Tandatangani Gamers Sebagai Pemain eSports FIFA Rasmi