Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City berada di landasan yang tepat untuk menjulang empat trofi semusim apabila menewaskan Burnley 4-1, dalam aksi pusingan tiga Piala FA, Sabtu lepas.
Namun begitu, pengurus City, Pep Guardiola menegaskan corak permainan cantik tidak mencukupi untuk mencapai impian untuk menyaingi pencapaian Manchester United dan Liverpool sebaliknya beliau mahu Manchester City menjulang banyak trofi untuk dilabel sebagai pasukan ‘gergasi’.
City ketika ini menyasarkan tempat di final Piala Liga, apabila menanti kunjungan kelab Liga Kejuaraan, Bristol City pada aksi separuh akhir pertama pada awal pagi Rabu ini.
“Kemenangan membantu untuk meraih lebih kemenangan, kemudian kami berada di sana, pergi ke London untuk bermain di final,” kata Guardiola.
“Ia penting (untuk menang trofi). Untuk menjadi kelab yang besar seperti pasukan yang pernah saya temui, atau pasukan seperti (Manchester) United atau Liverpool yang mempunyai sejarah yang amat, amat besar, kamu perlu menang.
“Tiada siapa dapat mengambil apa yang kami sudah julang setakat ini, kegembiraan daripada pasukan ini sejak tiga ke empat bulan lalu, ia adalah milik kami.
“Dalam proses itu, apabila kamu menjalani kehidupan yang baik, saya berkata kepada pemain, ‘nikmatinya’. Ia amat rumit sehingga ia tidak mungkin berlaku lagi.”
“Tetapi selepas itu, sudah tentu untuk memberikan nilai yang sebenar atas apa yang kami sudah lakukan setakat ini. Apa yang kami perlu lakukan di masa depan…kami perlu menjulang gelaran. Tanpanya, ia bagus, tetapi tidak cukup.”
Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu juga gembira untuk melihat pemain sayapnya, Leroy Sane kembali mencetak gol ketika kemenangan 4-1 ke atas Burnley selepas dikritik teruk susulan prestasi longlai sebelum ini.