United memulakan perlawanan ini tanpa pemain termahal dunia, Paul Pogba yang digantung perlawanan. Eric Bailly dan Zlatan Ibrahimovic terus diturunkan dalam kesebelasan utama.
Mourinho meneruskan rekod kemenangan dalam 8 daripada 9 perlawanan pembukaan musim EPL beliau bersama Chelsea dan Manchester United.
Manakala Zlatan Ibrahimovic pula, berjaya mengulangi pencapaian cemerlang menjaringkan gol dalam debut ke-5 beliau bersama kelab.
Sebelum ini beliau telah menjaringkan gol dalam debut bersama Paris St. Germain, Barcelona, Inter Milan dan Juventus.
Laporan Perlawanan
Juan Mata meletakkan United di hadapan pada minit ke-40 selepas kesilapan defensif oleh Simon Francis yang melakukan backpass lemah. Mata menjaringkan gol melalui tindakan susulan selepas cubaan pertama beliau diselamatkan.
Bournemouth memberikan respon positif dan menyerang kubu United, namun pertahanan United nampak teratur dan juga sukar untuk ditembusi.
Pada separuh masa kedua, Wayne Rooney menjaringkan gol kedua United pada minit ke-59 selepas cubaan Martial melantun di atas padang. Wayne Rooney yang tidak dikawal, dengan mudah menjaringkan gol dari jarak dekat.
Tidak lama selepas itu, Ibrahimovic hampir menjaringkan gol melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun ia diselamatkan oleh Boruc.
Headline utama pastinya gol ketiga Manchester United, pada minit ke-64. Ibrahimovic merembat dari jarak 25 ela dan menewaskan Boruc.
Ia adalah teknik dan ketenangan yang sempurna oleh penyerang veteran ini. Beliau meneruskan kecemerlangan prestasi pada pra-musim bersama United.
5 minit selepas itu, Smith menjaringkan gol cantik untuk Bournemouth. Namun mereka gagal untuk memberikan lebih ancaman kepada United.
Tamat 90 minit, United berjaya membawa pulang 3 mata pada hari pertama musim ini.