Man Utd Setuju Bayar £80 Juta Untuk Dapatkan Harry Maguire

Manchester United akhirnya mencapai persetujuan dengan Leicester City untuk perpindahan pemain pertahanan tengah, Harry Maguire ke Old Trafford dengan nilai rekod dunia berjumlah £80 juta.

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan melakukan pemeriksaan kesihatan pada hujung minggu ini sebelum melengkapkan perpindahan tersebut.

Maguire akan menjadi pemain ketiga yang dibawa masuk oleh Ole Gunnar Solskjaer, selepas sebelum itu menandatangani Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James – masing-masing dari Crystal Palace dan Swansea.

Maguire tampil dalam 69 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak menyertai Leicester City dari Hull City pada 2017.

Hasrat Manchester United untuk mendapatkan Maguire bukanlah perkara baharu. Malah pemain tersebut turut dikaitkan dengan perpindahan bernilai £70 juta 12 bulan yang lalu ketika era Jose Mourinho.

Namun demikian, United merasakan jumlah tersebut terlalu mahal pada ketika itu.

Maguire kemudiannya menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama Leicester pada September tahun lalu, dan Brendan Rodgers yakin beliau mampu meningkatkan potensi pemain tersebut sekiranya terus kekal bersama Leicester.

Maguire memulakan karier profesional pada 2011, tampil dalam 139 perlawanan liga bersama Sheffield United sebelum menyertai Hull pada 2014.

Beliau adalah sebahagian daripada anggota skuad Hull City yang dinaikkan ke saingan Liga Perdana Inggeris selepas memenangi perlawanan play-off pada 2016, namun sekali lagi berhijrah untuk menyertai Leicester 12 bulan kemudian, selepas Hull City sekali lagi tersingkir ke Championship.

(Photo by Dan Mullan/Getty Images)

Pemain pertahanan itu tampil buat pertama kali untuk England pada Ogos 2017, dan merupakan tunjang bahagian pertahanan The Three Lions yang mara ke separuh akhir Piala Dunia pada 2018 di Rusia.

Ketibaan Maguire juga bermakna United kini memiliki tujuh pemain yang boleh beraksi di posisi pertahanan tengah, selain daripada Victor Lindelof, Eric Bailly, Phil Jones, Chris Smalling, Marcos Rojo and Axel Tuanzebe.

Ketibaan Maguire bagaimanapun bermakna Marcos Rojo berkemungkinan akan dijual, tatkala Axel Tuanzebe akan dipinjamkan untuk mendapat minit perlawanan kompetitif.

Leave a Reply