Rio Ferdinand menjadi calon terbaru untuk jawatan pengarah teknikal (Pengarah Sukan) di Manchester United.
Manchester United kini dalam perancangan untuk melantik seorang Pengarah Teknikal yang antara tugas utamanya ialah untuk merancang strategi jangka masa panjang skuad utama United.
Tugasan Pengarah Teknikal di Old Trafford lebih kepada mencari sebelum mencadangkan pemain berpotensi untuk dibawa masuk – dan bukan untuk terus memuktamadkan pembelian pemain.
Ini kerana dalam struktur pengurusan tertinggi Manchester United, Ed Woodward mempunyai seorang lagi pembantu iatu Matt Judge – yang sebelum ini bekerja rapat dengan pengurus.
Woodward dilaporkan sudah berjumpa dengan Ferdinand mengenai prospek bekas pertahanan England itu sebagai Pengarah Teknikal.
Ferdinand yang kini berusia 40 tahun adalah rakan sepasukan kepada Ole Gunnar Solskjaer di United selama lima tahun mulai 2002 – dan Woodward yakin kedua-duanya mampu bekerjasama dengan baik di United.
Ferdinand juga merupakan bekas kapten United yang menewaskan Chelsea di perlawanan akhir UEFA Champions League pada 2009, selain turut meraih enam gelaran Liga Perdana Inggeris – sebelum berhijrah menyertai Queens Park Rangers pada Mei 2014.
Merupakan watak yang digemari penyokong, Ferdinand kini bekerja bersama BT Sports sebagai pengulas sukan. Tidak dapat dipastikan sama ada peranan beliau bersama media akan menjadi halangan kepada jawatan Pengarah Teknikal di Old Trafford.
Menurut The Guardian, Ferdinand hanyalah beberapa nama yang berada di dalam senarai untuk dipertimbangkan. Namun pembantu kepada Solskjaer, Mike Phelan tidak berada di dalam senarai itu.