Pemain sayap Crystal Palace, Wilfred Zaha mendakwa beliau diherdik dengan kata-kata bersifat perkauman di media sosial oleh penyokong Manchester United dan juga Liverpool.
Dakwaan itu tiba ketika pengurus Crystal Palace, Frank de Boer berkata pemain West Brom cuba untuk mencederakan pemain itu dalam pertandingan Trofi Liga Perdana Asia di Hong Kong.
Wilfred Zaha yang turut pernah beraksi bersama Manchester United selama semusim pada kempen 2013-2014, mendakwa dirinya menjadi sasaran herdikan berbaur perkauman. Zaha memberikan respon dengan satu mesej kepada pengikutnya melalui laman sosial, Instagram.
“Jika penyokong Manchester United dan Liverpool rasa lebih baik selepas memanggil saya monyet hitam di dalam laman sosial saya, teruskan sahaja jika ia boleh membuatkan hari anda lebih baik,” ujar Zaha dalam satu mesej.
Zaha bagaimanapun tidak mendedahkan butiran identiti individu yang melakukan penghinaan dan komen berbaur perkauman itu.
Muat naik komen dari Zaha tersebut tiba selepas aksi pemain berusia 24 tahun itu membantu Crystal Palace menundukkan West Brom 2-0.
Zaha dan Crystal Palace ditewaskan oleh Liverpool juga dengan jaringan 2-0 dalam satu lagi perlawanan, pertandingan yang sama pada 19 Julai yang lalu.
Pengurus Crystal Palace, Frank de Boer pula jelas tidak berpuas hati dengan cara permainan West Brom yang didakwa mensasarkan pemain antarabangsa Ivory Coast itu.
Terjahan keras Craig Dawson pada awal perlawanan terhadap Zaha adalah salah satu tindakan pemain West Brom yang dipersoalkan oleh De Boer.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan dari Hong Kong, Ng Chiu Kok tidak melayangkan sebarang kad amaran dan Tony Pulis melabel terjahan tersebut sekadar kompetitif.
“Terjahan pertama itu seharusnya dilayangkan kad kuning. Jika tidak, maka pemain tersebut tahu dia boleh melakukannya sekali lagi,” ujar De Boer.
“Sekarang anda memberi kebenaran kepada pemain ini untuk mengulangi terjahan sedemikian. Maka jika anda mahu mempromosi Liga Perdana Inggeris (EPL) ke luar, anda harus memberi perhatian terhadap terjahan sebegini,”
“Saya harus memberi kredit kepada Wilfred Zaha kerana kekal tenang dan fokus dalam perlawanan. Tahniah buat Zaha,” sambung Frank de Boer lagi.
Dua gol Crystal Palace dalam kemenangan 2-0 tersebut dijaringkan oleh Luka Milivojevic dan Bakary Sako.
Sumber:
1. Independent (2017): Wilfried Zaha accuses Manchester United and Liverpool fans of ‘calling me a black monkey’;
http://www.independent.co.uk/sport/football-0/wilfried-zaha-racist-abuse-instagram-manchester-united-liverpool-crystal-palace-a7854936.html
2. Rory Dollards, Daily Mail (2017): Crystal Palace star Wilfried Zaha claims he was racially abused by Manchester United and Liverpool fans after West Brom friendly; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4721018/Crystal-Palace-star-Wilfried-Zaha-suffers-racial-abuse.html