Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba dijangka akan berehat selama sebulan sehingga 6 minggu akibat kecederaan harmstring yang dialaminya ketika perlawanan UEFA Champions League (UCL) menentang Basel.
Pogba akan terlepas perlawanan menentang Everton, Southampton, Crystal Palace, perlawanan pusingan ketiga Piala Liga menentang Burton dan juga kunjungan ke Rusia untuk perlawanan Champions League menentang CSKA Moscow pada 27 September.
2 gol dan 2 bantuan gol bermakna hanya Henrikh Mkhitaryan dan juga Alvaro Morata terlibat dengan penghasilan gol secara langsung yang lebih banyak daripada Pogba di EPL. Mkhitaryan dan Morata di Chelsea masing-masing mempunyai 5 pembabitan setakat ini.
Tetapi aksi Pogba bukan sekadar untuk menjaring dan menghasilkan bantuan gol buat skuad Jose Mourinho. Lebih daripada itu, Paul Pogba adalah nadi kepada ‘fluidity’ corak permainan dan serangan United.
Bagaimana Manchester United harus tampil untuk 6 minggu berikutnya tanpa Pogba? Berdasarkan taktikal Mourinho dan squad depth yang dimiliki United, kami tampil dengan 3 formasi untuk pasukan Manchester ini kekal kompetitif dalam saingan seterusnya, bermula dengan Everton pada hujung minggu ini.
1. Manchester United 4-2-3-1
Ander Herrera mungkin tidak disenaraikan untuk perlawanan UCL menentang Basel pada pertengahan minggu. Namun ia tidak menggugat kepentingan pemain antarabangsa Sepanyol itu dalam perancangan Jose Mourinho pada musim ini.
Musim ini Manchester United tampil lebih yakin dan selesa dengan formasi 4-2-3-1 berbanding ketika musim pertama Mourinho di Old Trafford.
Mourinho seolah-olah telah berjaya mengikis falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Louis Van Gaal dalam sistem ini- falsafah yang mengelirukan dan menghantui corak permainan United pasca era Van Gaal.
Mengambil contoh perlawanan seterusnya menentang Everton, pasukan Merseyside tersebut gemar mengandalkan permainan mereka kepada corak serangan balas pantas dari sisi. United mempunyai bek sayap yang mampu meneutralkan serangan sebegitu.
Mourinho harus memberi fokus bagaimana untuk mengawal bahagian tengah dan memecahkan benteng pertahanan ciptaan Ronald Koeman dan tidak terlalu memberi penekanan kepada kaedah untuk mengekang Everton.
Untuk itu, Mourinho seharusnya mengekalkan formasi 4-2-3-1. Fellaini adalah pemain yang penting buat Mourinho. Namun pemain antarabangsa Belgium ini tidak memberi impak sepertimana yang disumbangkan oleh Pogba.
Oleh itu kami memilih Ander Herrera untuk berada di posisi tersebut yang lebih selesa bermain di bahagian atas blok serangan jentera tengah United.
Herrera mampu membentuk kombinasi yang lebih produktif bersama dengan Antonio Valencia di sebelah sayap kanan, dan melakukan hantaran untuk membebaskan Henrikh Mkhitaryan.
Nemanja Matic dijangka akan kekal sebagai pivot dalam sistem 4-2-3-1 yang menonjolkan kualiti pemain antarabangsa Serbia tersebut setakat ini.
2. Manchester United 3-5-2
Sistem ini menuntut seorang ‘ball playing defender’ di rangkaian 3 pertahanan. Eric Bailly dan Phil Jones adalah gandingan kepercayaan Mourinho, namun kedua-duanya bukan pemain pertahanan dengan profil sedemikian.
Oleh itu, Jose Mourinho boleh mulai mempertimbangkan untuk menurunkan Victor Lindelof yang beraksi ketika menentang Basel dalam perlawanan UCL lalu. Lindelof melengkapkan gandingan Bailly dan Jones, membentuk sistem bek bertiga.
Matic akan terus diberi kepercayaan sebagai pivot tunggal melalui sistem ini. Berdasarkan prestasi semasa, Fellaini dan Herrera boleh digandingan di hadapan Matic dan diapit oleh Valencia serta Blind atau Young di sebelah kiri.
Berdasarkan perlawanan ketika jelajah pra musim yang lalu, Juan Mata dan Henrikh Mkhitaryan kelihatan bergelut untuk beraksi di jentera tengah dalam formasi 3-5-2.
Oleh itu kami hanya memilih Henrikh Mhkitaryan untuk beraksi di bahagian serangan di belakang Romelu Lukaku. Pemain antarabangsa Armenia ini kelihatan lebih tajam apabila digandingkan dengan penyerang bernilai £75 juta yang tiba dari Everton ini.
Berdasarkan kekuatan di bangku simpanan, formasi 3-5-2 ini turut boleh berubah kepada 3-4-3 ketika keadaan memerlukan. Mourinho mempunyai pilihan untuk menggandingkan Marcus Rashford dan Anthony Martial dengan Lukaku untuk memberi dimensi berbeza ketika di dalam permainan.
3. Manchester United 4-3-3
Manchester United memperagakan formasi 4-3-3 ketika bertemu Stoke dan ia tidak menghasilkan keputusan yang diinginkan. Tetapi jika serangan dari bahagian sayap adalah fokus Mourinho, maka 4-3-3 tetap menjadi pilihan yang wajar.
Mkhitaryan dan Rashford akan membantu Lukaku di bahagian serangan dengan larian-larian berbahaya bertujuan memecahkan blok pertahanan lawan. Ini sekaligus akan memberi Lukaku lebih ruang untuk melaksanakan tugas sebagai No.9.
Peranan Rashford juga signifikan dalam posisi ini. Walaupun kelihatan membentuk rangkaian 3 penyerang, pemain muda England ini akan berperanan lebih sebagai direct winger dari sebelah kiri serangan United.
Peranan sebegini akan terus dimainkan oleh Rashford dalam formasi-formasi lain untuk memberi variasi kepada corak serangan Mourinho dan United.
Herrera dan Fellaini adalah gandingan pilihan di tengah, beraksi di atas Matic untuk mengawal bahagian tengah.
Antonio Valencia, Danny Blind atau pun Ashley Young akan memberi ancaman di bahagian sayap dengan Jones serta Bailly akan terus disandarkan untuk mengetuai bahagian pertahanan.
Sekali lagi squad depth United terserlah dengan Juan Mata turut boleh mengisi posisi Mkhitaryan dan Anthony Martial bersedia untuk mengambil alih daripada Marcus Rashford jika keadaan memerlukan.
Rumusan
‘No Pogba, No Problem?’ Terlampau awal untuk berkata demikian jika deretan perlawanan sepanjang September dan oktober akan datang diambil kira.
Ketiadaan Paul Pogba agak merisaukan. Namun bukannya Jose Mourinho dan Manchester United tiada pilihan.
Apa pendapat kalian? Apa pandangan penyokong Manchester United? Nyatakan pandangan anda di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda.
Sumber:
1. Ritesh Gogineni, The False 9 (2017): Manchester United’s new look 3-5-2 formation in 2017/18: Lukaku & Rashford upfront; http://www.thefalse9.com/2017/07/manchester-united-formation-3-5-2-2017-18-lukaku-rashford.html
2. Simon Stone, BBC (2017): Paul Pogba: Man United midfielder facing up to six weeks out with hamstring injury; http://www.bbc.com/sport/football/41261402
3. Muhammad Butt, Squawka (2017): No risks 4-3-3 or a Conte special? How Man Utd can line up in their Champions League return; http://www.squawka.com/news/no-risks-4-3-3-or-a-conte-special-how-man-utd-can-line-up-in-their-champions-league-return-analysis/989972#1mOUGe2fjR8SoguK.99
4. Marwan Harraz, Red Devil Armada (2017): Manchester United: Analysing Mourinho’s 4-2-3-1 decision; https://reddevilarmada.com/2017/08/14/manchester-united-analysing-mourinho/