Kegagalan skuad Manchester United untuk tiba tepat pada masa untuk perlawanan menentang Juventus di Old Trafford pada awal pagi tadi mengundang kecaman.
Pundit Sky Sports, Liam Rosenior melabel Manchester United sebagai amatur, setelah kali pertama kejadian berlaku ketika United berhadapan dengan Valencia dalam pertandingan yang sama sebelum ini.
Pengurus United, Jose Mourinho bertindak memilih untuk meninggalkan bas yang membawa keseluruhan skuad Red Devils itu yang tersekat di dalam kesesakan trafik selama 45 minit.
Kelab tersebut telah didenda £13,000 oleh UEFA sebelum ini atas kejadian yang sama ketika berhadapan Valencia pada awal bulan lalu. United dilaporkan telah memilih hotel penginapan yang lebih dekat dengan Old Trafford, tetapi masih gagal mengelak kejadian serupa dari berulang.
Bagi Rosenior, beliau berpendapat kejadian yang berlaku itu sama sekali tidak boleh diterima. Apatah lagi ia melibatkan sebuah kelab besar yang bertanding dalam kejohanan seperti UEFA Champions League.
“Ianya tidak masuk akal sama sekali untuk kelab sebesar Manchester United, dan mempunyai jurulatih dengan profail seperti Jose Mourinho tidak mempuyai organisasi dan persiapan yang diperlukan.
“Semua itu pasti akan memberi kesan sekurang-kurangnya 1% kepada prestasi di atas padang. Mereka perlu memperbetulkan perkara ini secepat mungkin untuk memungkinkan pemain mereka menghasilkan keputusan terbaik,” jelas beliau ketika mengulas perlawanan tersebut.
“Anda bakal berhadapan dengan salah sebuah pasukan terbaik dunia seperti Juventus, dan tiba lewat untuk perlawanan. Perkara sama terjadi ketika berhadapan Valencia.
“Kita boleh saksikan prestasi mereka kurang baik dalam dua perlawanan tersebut. Organisasi dan persiapan menjelang perlawanan adalah perkara terpenting yang perlu diambil kira.
“Apatah lagi jika anda mempunyai rutin dan ruang sendiri untuk mengatur segalanya kerana beraksi di stadium sendiri,” jelas beliau lagi.
“Pada pendapat saya, ia sangat amatur. Jika perkara serupa berlaku di League Two, saya pasti pengurus pasukan masih tidak gemar akan kejadian sebegini,” tambah beliau lagi.
Manchester United kekal di tangga kedua Kumpulan H selepas tewas 0-1 kepada Juventus dengan empat mata, selepas Young Boys mengikat Valencia dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.