Manchester United merancang untuk melantik Pengarah Bola Sepak yang pertama dalam tempoh 140 tahun sejarah kelab tersebut. Perkara tersebut dijangka akan disegerakan sebaik sahaja penstrukturan kemudahan di kelab tersebut selesai.
Langkah tersebut dipercayai mampu memastikan prestasi di atas padang Manchester United terus kekal relevan, terutama dalam dunia bola sepak yang sentiasa berevolusi dari segi gaya permainan.
Ia juga bertujuan untuk mengawal pembelian dan perpindahan pemain selaras dengan apa yang kelab mahu bina, berdasarkan falsafah yang telah ditetapkan.
Bagi hierarki di kelab tersebut, mewujudkan jawatan Pengarah Bola Sepak juga adalah satu langkah pemodenan agar pihak eksekutif lebih jelas dengan apa yang dilakukan oleh pengurus, terutama dari segi keperluan pasukan dan profail pemain yang diperlukan untuk dibawa masuk.
United melalui jendela perpindahan musim panas lalu yang mengecewakan. Jose Mourinho percaya beliau memerlukan seorang pemain pertahanan tengah.
Tetapi lembaga pengarah yang diketuai oleh Ed Woodward enggan meneruskan pembelian yang dilihat sebagai bidaan tidak masuk akal untuk pemain yang dikehendaki.
Woodward dijangka akan kekal mempunyai peranan di dalam hal pembelian pemain, walaupun selepas perlantikan Pengarah Bola Sepak, bersama-sama dengan Mourinho.
Pada jendela perpindahan yang lalu, Mourinho dilaporkan mengintai pemain pertahanan Leicester City, Harry Maguire; pemain pertahanan Bayern Munich, Jerome Boateng; Diego Godin dari Atletico Madrid, dan Toby Alderweireld dari Tottenham Hotspur.
Di sebalik deretan nama tersebut, tidak ada seorang pun yang tiba menjelang tertutupnya jendela perpindahan pada Khamis lalu, setelah lembaga pengarah kelab tersebut berpendapat tidak seorang pun di kalangan pemain tesebut akan membawa penambahbaikan kepada pemain sedia ada.
Manchester United sudah pun memiliki Eric Bailly, Marcos Rojo, Phil Jones, Chris Smalling dan Victor Lindelöf selaku pemain pertahanan tengah pada musim ini.
Perkara ini menyebabkan Mourinho kecewa dan menurut akhbar The Guardian, pihak eksekutif kelab turut tidak senang dengan luahan kecewa oleh pengurus dari Portugal tersebut kepada umum.
Kehadiran Pengarah Bola Sepak dijangka mampu membantu mendekatkan jurang persefahaman di antara pengurus dan pihak eksekutif kelab.
Jawatan tersebut turut akan menawarkan kepakaran dalam memastikan corak permainan Manchester United terus relevan dan bersedia bersaing secara kompetitif.
Seteru dan jiran, Manchester City telah melantik Txiki Begiristain atas kapasiti yang sama. Antara peranan Txixi ialah untuk mencari pengurus yang sesuai dengan kehendak kelab, dan Pep Guardiola kemudiannya dilantik pada 2016.
Adakah perlantikan seorang pengarah bola sepak bermakna masa depan Jose Mourinho di Old Trafford bakal berakhir?