Manchester United mengumumkan kelab mereka berjaya menjana pendapatan sebanyak £627 juta. Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Pengarah Eksekutif Manchester United – Ed Woodward.
Woodward memberikan jaminan bahawa, keutamaan masih lagi kepada aksi di atas padang. Ini merupakan respon kepada rungutan ramai penyokong Manchester United yang menyatakan pentadbiran Glazer lebih mengutamakan keuntungan berbanding prestasi pasukan.
Woodward berkata, polisi dan hala tuju kelab ketika ini membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang tepat untuk menjadi juara England sekali lagi.
United menang hanya 2 perlawanan daripada 11 perlawanan EPL terakhir mereka setakat ini. United gagal melayakkan diri ke separuh akhir UCL pada musim lalu, selepas cemerlang menyingkirkan PSG.
Lebih malang, Manchester United pada satu ketika berada di tempat ke-3 dalam persaingan ke UCL, telah melepaskan kedudukan 4 teratas, iaitu berada di tangga ke-6, sekaligus menggagalkan mereka beraksi dalam UCL.
Musim depan, United dijangka akan mengalami sedikit penurunan dari segi pendapatan, kerana kegagalan beraksi dalam UCL musim ini.
Manchester United melakukan 3 pembelian pada pra-musim lalu. Dua daripadanya adalah pembelian dengan nilai tinggi iaitu Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka. Seorang lagi pemain adalah bakat prospek, Daniel James.
United cuba mengurangkan impak perbelanjaan mereka musim ini dengan melepaskan pemain seperti Alexis Sanchez, Chris Smalling secara pinjaman.
Ini membolehkan mereka melanjutkan kontrak beberapa pemain dengan kenaikan gaji yang tinggi seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, David De Gea dan Victor Lindelof.
Namun pemain seperti Alexis Sanchez dan Chris Smalling tidak ada klausa belian tetap oleh kelab peminjam. Jadi, United pastinya berharap musim hadapan mereka akan layak ke UCL.
Woodward dalam kenyataan beliau mempertahankan polisi kelab yang terus mengutamakan bakat-bakat Inggeris.
“Kami masih fokus kepada perancangan untuk membina semula pasukan ini dengan berterusan menguatkan lagi sistem akademi kita, selari dengan filosofi kelab dan pengurus pasukan.”
Ed Woodward has said Manchester United will continue to make the "necessary investments " to return the team "back to the top of English football".
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) September 24, 2019
“Perkara ini terbukti dengan penambahan beberapa pemain yang mengujakan ke dalam pasukan utama. Kita berjaya melanjutkan kontrak beberapa pemain penting dan kita ada ramai bakat muda yang datang daripada akademi.”
“Semua orang di Manchester United komited untuk mencapai objektif utama kami iaitu memenangi trofi.”
Woodward yakin Red Devils akan mengakhiri penantian EPL, selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 2013, bersama Sir Alex Ferguson.
Namun ketika ini, Manchester United bergelut dengan prestasi dan kualiti berbanding dengan seteru utama mereka, Manchester City dan Liverpool. Walaubagaimanapun, Manchester United masih pasukan terbaik dari segi ‘membuat duit’.
Tetapi, Manchester United masih di belakang Barcelona dalam indeks global, dari segi pendapatan.
Ini apabila kelab Catalan itu minggu lalu memberikan gambaran bahawa mereka mungkin akan menjana pendapatan lebih €1 billion (£883) buat pertama kalinya.