Penampilan pertama Unai Emery selaku pengurus di Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula dengan kekalahan selepas Manchester City meneruskan rantak cemerlang dalam mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada musim lalu.
Raheem Sterling menjaringkan gol ke-50 karier di EPL di dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan, sebelum giliran Bernardo Silva melengkapkan kemenangan 2-0 City pada minit ke-64 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Emirates.
Emery dipertanggungjawabkan untuk membimbing Arsenal selepas Arsene Wenger meletakkan jawatan pada penghujung musim lalu.
Namun ia masih persembahan yang tidak banyak beza ditampilkan oleh Arsenal yang dilihat masih bergelut untuk membiasakan diri dengan corak dan falsafah yang diterapkan oleh jurulatih dari Sepanyol itu.
Bagi Pep Guardiola dan Manchester City, ia bagaikan kemenangan rutin, dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan pada musim ini.
Babak awal perlawanan, Arsenal tampil meyakinkan. Namun ia tidak kekal lama selepas City mulai menemukan rentak yang diperlukan di dalam perlawanan ini.
Aksi Sterling bagaikan duri di dalam daging buat Arsenal. Lima minit selepas memaksa Petr Cech menampilkan aksi menyelamat, bintang Piala Dunia England itu meletakkan The Citizen di hadapan selepas berjaya meloloskan diri dari kawalan Hector Bellerin dan Mateo Guendouzi.
Percubaan tepat pertama dari Arsenal hanya hadir selepas 21 minit perlawanan berlangsung melalui Hector Bellerin, yang berjaya menewaskan Benjamin Hendy sebelum menguji Ederson di hadapan gol.
City pantas bertindak balas selepas itu, kali ini melalui percubaan penyerang Argentina, Sergio Aguero, namun sipi di sisi gawang.
Malah Cech hampir menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan ini selepas pertahanan mereka ditekan oleh bahagian serangan City.
Arsenal bernasib baik tidak berada dua gol di belakang lebih awal selepas Cech cemerlang menyelamatkan bola dalam situasi satu lawan satu dengan Aguero, namun gagal menghalang percubaan Bernardo Silva yang menyambung hantaran cut back dari Mendy.
Aubameyang dan Mesut Ozil turut berjaya menggegarkan jaring City ketika Arsenal cuba bertindak balas. Namun kedua-dua gol tersebut dibatalkan akibat offside.
Jelas ia bukan permulaan yang diimpikan oleh Emery di dalam perlawanan kompetitif pertama beliau di Liga Inggeris.
Anda boleh saksikan highlight perlawanan melalui pautan di bawah.