Quantcast

BERITA

Man City Elak Hukuman Berat Daripada FIFA Berkaitan Perpindahan Pemain Bawah Umur

Manchester City berjaya mengelakkan diri daripada hukuman yang lebih berat – seperti tidak dibenarkan aktif di jendela perpindahan – setelah kelab itu didapati melanggar peraturan FIFA ketika membawa masuk pemain remaja.

Disebabkan kesalahan tersebut, juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sekadar didenda £315,000.

Berdasarkan kenyataan dari FIFA, City telah melanggar peraturan Artikel 19 berkaitan perpindahan pemain berlainan warganegara yang hanya membenarkan pemain berumur 18 tahun ke atas.

City menjelaskan perpindahan tersebut berlaku sebelum Disember 2016, dan disebabkan salah faham akan peraturan yang dimaksudkan.

Sebelum ini Chelsea menerima hukuman berat, digantung daripada aktif membawa masuk pemain di dua jendela perpindahan kerana kesalahan yang sama. Kelab London itu kini sedang berusaha untuk mengubah keputusan hukuman di Mahkamah Timbang Tara (CAS).

City menjelaskan kesalahan yang dilakukan mereka membabitkan pemain yang menjalani ujian dan pembabitan pemain tersebut hanyalah di perlawanan persahabatan. City sentiasa mengikut peraturan ditetapkan selepas itu.

City turut berkata mereka memberi kerjasama sewajarnya kepada FIFA sepanjang proses siasatan.

Pada tahun lalu dua pemain dari Akademi Right to Dream Football, George Davies (Sierra Leone) dan Dominic Oduro (Ghana) mendedahkan kepada sebuah akhbar Denmark bahawa mereka beraksi bersama pasukan remaja Manchester City walaupun belum mencecah usia 18 tahun.

Dakwaan tersebut mengundang siasatan daripada FIFA yang tidak membenarkan pemain di bawah umur dibawa masuk merentasi sempadan.

Chelsea sebelum ini menerima padah setelah didenda £460,000 dan tidak dibenarkan aktif di dua jendela perpindahan pemain selepas melanggar peraturan membabitkan perpindahan 29 pemain di bawah umur.