Kemenangan sulung 2-0 berdepan Perak FC pada minggu lalu telah membibitkan keyakinan buat ketua pasukan UiTM FC, Victor Nirennold dan rakan sepasukan bagi meneruskan sisa-sisa perjuangan di Liga Super.
Biarpun di atas kertas tampak segalanya telah sukar buat UiTM bagi menyelamatkan diri dari zon penyingkiran Liga Super, pemain berasal dari Perancis itu mengharapkan pasukannya cuba untuk meraih 15 mata maksimum pada baki lima perlawanan.
Bemula aksi berdepan Melaka United pada Ahad ini di Stadium Hang Jebat, Nirennold mengharapkan pasukan dapat meneruskan momentum kemenangan bagi terus memperbaiki rekod mereka di Liga Super.
“Lega setelah melalui banyak perlawanan, akhirnya berjaya meraih kemenangan walaupun diakui mungkin sudah sedikit terlambat tetapi pasukan telah buktikan yang kami tidak cepat berputus asa.
“Sememangnya banyak perubahan positif berlaku dalam pasukan sejak bermula pusingan kedua tempoh hari tetapi sayang sekali kemenangan itu hanya hadir pada perlawanan ke-17.
“Kami cuba untuk menang dalam baki perlawanan yang tinggal kerana secara matematiknya kami masih ada peluang tetapi jika tersingkir ke Liga Premier, biarlah dengan cara bermaruah dengan berikan sehabis baik,” katanya.
Pada perlawanan Liga Super yang berlangsung 7 Ogos lalu, jaringan daripada Sean Gan Giannelli dan Syafiq Al-Hafiz Dawawi memberikan tiga mata pertama buat UiTM untuk keseluruhan lima mata daripada 17 perlawanan.
Prestasi UiTM pada musim ini jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan musim lalu yang mampu menamatkan kedudukan di tangga keenam apabila penghijrahan ramai tonggak import serta beberapa pemain tempatan memberikan kesan kepada kualiti pasukan secara keseluruhan.
Di atas kertas, UiTM wajib memenangi lima perlawanan yang tinggal selain mengharapkan lima pesaing terdekat iaitu membabitkan Perak FC, Melaka United FC , Sri Pahang FC, Petaling Jaya City FC dan Sabah FC keciciran mata dalam semua perlawanan atau tidak menamatkan saingan liga melebihi 20 mata.
Sementara itu, Nirennold berkata, kehadiran pemain import seperti Ousmane Fane, Kwon Yong Hyun dan Joel Vinicius serta beberapa tempatan lain seperti Alif Samsudin, Zamir Selamat dan Sean Gan Giannelli telah memberikan perubahan kepada pasukan.
Tambahnya, pasukan sudah mampu berikan saingan dengan lebih baik berbanding perlawanan yang berlangsung di pusingan pertama Liga Super.
“Saya akui pasukan ini sangat berbeza jika hendak bandingkan musim lalu malah permulaan yang buruk pada permulaan musim telah mewujudkan perasaan negatif dalam kalangan pemain.
“Situasi itu membuatkan pemain-pemain melakukan kesilapan-kesilapan mudah berulang kali dan memberikan kesan kepada persembahan pasukan.
“Namun, kehadiran pemain import terbaharu memberikan keyakinan berbeza serta kekuatan tambahan kepada kami selain kerja keras pemain tempatan yang menghadirkan peningkatan berbeza kepada UiTM.
“Suasana dalam pasukan sekarang tampak positif dan itu boleh dilihat dalam cara permainan kami yang semakin berbeza, harap keadaan ini dapat diteruskan sehingga penghujung musim,” katanya. – MFL