Mampukah Skuad Bojan Hodak Mara Ke Peringkat Suku Akhir AFC B-19?

Menang atau lupakan Piala Dunia!

Itulah situasi yang melanda skuad bawah 19 tahun negara dibawah kendalian jurulatih dari Croatia, Bojan Hodak dimana nasib mereka kini bagaikan telur dihujung tanduk.

Dengan hanya berbekalkan 1 mata selepas tewas kepada Arab Saudi dalam aksi pertama kumpulan D dan berjaya mengikat Tajikistan 2-2 pada perlawanan kedua, anak buah Bojan Hodak bakal berdepan misi yang paling sukar untuk memastikan kemaraan ke peringkat suku akhir dalam Kejohanan AFC B-19.

Malam ini di Stadium Pakansari, Indonesia, China akan menjadi penentu kepada impian mereka untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia  B-20 di Poland tahun depan. Mereka perlu memberikan fokus 100% dalam perlawanan serta mengurangkan kesilapan mudah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad muda negara.

Bagaimana cara untuk skuad Malaysia B-19 menempah tiket ke suku akhir? 

Mari kita melihat dahulu kedudukan skuad Malaysia dalam kumpulan D selepas 2 perlawanan.

Berdasarkan kedudukan pasukan dalam kumpulan ini, Arab Saudi sudah sahkan tempat di suku akhir dengan berbekalkan 6 mata. Namun, mereka memerlukan sekurang-kurangnya seri ke atas Tajikistan malam ini untuk muncul sebagai juara kumpulan D.

Manakala Tajikistan juga memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mara ke peringkat suku akhir tanpa mengambil kira keputusan perlawanan Malaysia menentang China. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

China sudah pun tersingkir awal daripada saingan AFC B-19 selepas gagal mengutip sebarang mata dalam 2 perlawanan awal. Kemenangan China ke atas Malaysia malam ini akan melonjakkan kedudukan negara itu di tempat ketiga kumpulan.

Peluang Malaysia untuk mara ke peringkat suku akhir akan menjadi cerah jika Arab Saudi menewaskan Tajikistan dengan jaringan 2-0 ke atas manakala Malaysia menewaskan China tanpa bolos. Situasi itu akan menjadikan kedudukan mata Malaysia terikat dengan Tajikistan 4 mata yang sama.

Maka, disini peraturan ‘head to head’ memainkan peranan yang penting untuk menentukan kemaraan pasukan muda negara di peringkat suku akhir.

Bagaimana peraturan ‘head to head’ dapat menentukan kemaraan skuad Malaysia B-19 ke suku akhir?

Berdasarkan perkara ke-9 ‘Competition System’ merujuk kepada artikel 9.3.2.1 dibawah tajuk ‘Head-to-Head criteria’, berikut adalah cara untuk menentukan kedudukan pasukan yang terikat dalam sesebuah kumpulan di kejohanan AFC B-19.

Jelas ditunjukkan dalam gambar diatas bahawa ada 3 perkara untuk menentukan kedudukan pasukan berdasarkan sistem Head-to-Head :

  • Jumlah mata paling tinggi dikutip dari perlawanan dengan pasukan berkaitan.
  • Jumlah perbezaan gol yang paling tinggi dari perlawanan dengan pasukan berkaitan.
  • Jumlah gol yang dijaringkan dari perlawanan dengan pasukan berkaitan.

Dalam situasi pasukan Tajikistan dan Malaysia, jika kedudukan kedua-dua pasukan ini terikat 4 mata yang sama, maka peraturan 9.3.2.2  dalam kriteria ‘head to head’ AFC iaitu jumlah perbezaan gol (Goal Difference) akan menjadi penentu kepada kemaraan pasukan itu ke peringkat suku akhir.

Sebagai contoh, andai Malaysia menang dengan jaringan 1-0 ke atas China malam ini, jumlah jaringan yang dikumpul oleh Malaysia ialah sebanyak 4 gol (Goal Forward). 

Oleh itu, perbezaan gol oleh pasukan Malaysia ialah 0 selepas ditolak dengan jumlah gol yang bolos iaitu sebanyak 4 gol (Goal Against). Keputusan ini akan memastikan kemaraan Malaysia ke peringkat suku akhir.

Manakala Tajikistan akan disahkan tersingkir daripada saingan AFC B-19 andai mereka tewas dengan defisit 2 gol kepada Arab Saudi. Hal ini kerana Tajikistan akan mengumpulkan jumlah bolos kepada 4 gol dan ia akan menjadikan perbezaan gol mereka kepada negatif 1 selepas ditolak dengan jumlah jaringan iaitu 3 gol.

Adakah skuad Malaysia akan ikut jejak langkah Indonesia dan Thailand mara ke suku akhir?

Di atas kertas nampak mustahil dan sukar kerana China bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Namun situasi ini tidak ubah seperti apa yang menimpa skuad bawah 23 tahun negara ketika dalam saingan AFC B-22 di China.

Ketika itu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hanya ada 1 mata dan mereka berjaya mengejutkan Arab Saudi untuk mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C serta dibantu oleh kemenangan Iraq ke atas Jordan. Tak mustahil ia akan berulang semula malam ini.

Salah seorang pemain daripada skuad itu turut berada dalam skuad bawah 19 tahun negara iaitu Hadi Fayyadh. Beliau yakin sejarah itu mampu diulangi dengan menundukkan China malam ini.

“Pertama sekali, saya harap sejarah mampu diulangi seperti skuad B-23. Saya percaya dan yakin bahawa Malaysia mampu melakukannya esok untuk menang ke atas China.

“Saya harap kami menang dan mampu memberikan aksi terbaik. Apa sahaja yang terjadi dalam pertemuan Tajikistan dan Arab Saudi, kami mengharapkan Arab Saudi menang. Namun, kami fokus untuk aksi bertemu China,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.

Hadi Fayyadh ketika ini sudah meledak dua gol dalam dua perlawanan dan pemain berketinggian 1.85 meter itu memerlukan kebijaksaan Nik Akif Syahiran untuk mengawal jentera tengah.

“Bagi saya, kami sudah lama bersama, hampir dua tahun, jadi persefahaman itu memang ada. Dua jaringan saya juga hasil bantuan daripada Nik Akif tetapi paling utama, permainan seluruh pasukan. Jika tidak, saya tidak akan dapat jaringkan gol.” jelasnya.

Penutup

Kami berharap agar skuad muda negara sentiasa memberi tumpuan 100% di atas padang serta mengurangkan kesilapan individu yang merugikan sepertimana yang mereka lakukan dalam 2 perlawanan awal sebelum ini.

Jika layak ke peringkat suku akhir, skuad Bojan Hodak akan menentang juara AFC B-19 12 kali iaitu pasukan Korea Selatan yang berjaya muncul juara kumpulan C dengan mengutip 7 mata mengatasi pasukan Australia di tempat kedua yang mengutip 5 mata.

Misi untuk ke Piala Dunia bukanlah sesuatu yang mustahil jika mereka percaya dengan kebolehan sendiri serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian mereka. Yakin boleh !!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN