Sabah kini mempunyai potensi besar untuk menamatkan saingan liga ditempat kedua dan jika ini terjadi, ia menjadi kedudukan tertinggi berjaya diraih mereka dalam sejarah Liga Super.
Lebih menggembirakan adalah Sabah akan bersaing merebut Piala AFC pada tahun hadapan yang merupakan kejohanan kedua tertinggi di Asia.
Dalam sejarah bola sepak Sabah, skuad Sang Badak belum pernah bersaing dalam mana-mana kejohanan AFC dan ini sudah pasti meningkatkan semangat mereka.
Kedudukan terbaik pasukan ini adalah dengan menduduki tangga keenam ketika pertama kali Liga Super diperkenal pada tahun 2004.
Namun kekalahan Sabah dalam perlawanan terakhir Liga Super di tangan Selangor menyebabkan mereka gagal menjarakkan kedudukan dengan Negeri Sembilan dan kini hanya dipisahkan satu mata sahaja antara mereka.
Secara tidak langsung ia membuka ruang dan peluang bagi Negeri Sembilan mengejar Sabah dan persaingan antara kedua-dua pasukan ini semakin sengit.
Apatah lagi Malaysian Football League (MFL) memberi slot Piala AFC kepada pasukan berada di kedudukan nombor tiga liga.
Slot yang sepatutnya diberi kepada JDT selaku juara Piala FA namun Harimau Selatan juga dilihat tiada masalah untuk kekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sebelum ini.
Maka pasukan yang berada di kedudukan ketiga liga akan mendapat slot ke peringkat kumpulan Piala AFC tahun hadapan.
Biar pun berada di kedudukan ketiga liga juga akan mendapat slot tetapi itu seperti memilih jalan sukar berbanding berada ditangga kedua kerana ada beberapa pasukan lain mampu mengejar posisi tersebut.
Bagi mengelak dipintas pada saat-saat akhir, kedudukan kedua liga sudah pasti jalan yang paling selamat.
Berbaki empat perlawanan terakhir, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu segera bangkit untuk memburu kemenangan agar kedudukan mereka tidak dipintas oleh pasukan lain.
Empat perlawanan terakhir Sabah:
- Terengganu vs Sabah – 1 Oktober
- Sabah vs Penang – 7 Oktober
- Sri Pahang vs Sabah – 11 Oktober
- Johor Darul Ta’zim vs Sabah – 15 Oktober
Melihat lawan yang akan dihadapi nanti, bukanlah sesuatu tugas mudah bagi Kim Swee dalam merencana strategi agar tidak tercicir mata lagi.
Sebarang keciciran mata akan memberi kesan sangat bahaya untuk pasukan beliau.
Dari kesemua perlawanan tersebut, Terengganu, Pahang serta JDT antara lawan yang sukar untuk Sabah kerana pasukan ini mampu menidakkan impian skuad Sang Badak serta peminat-peminat mereka.
Terengganu baharu saja tewas di perlawanan akhir Piala FA sudah tentu ingin bangkit dari kekecewaan.
Dalam masa yang sama, mereka juga dilihat berpeluang merebut slot Piala AFC bersama-sama Sabah dan Negeri Sembilan.
Ini pasti akan menjadi pembakar semangat untuk para pemain dan sudah tentu skuad Sang Penyu tidak akan memberi laluan mudah kepada skuad Sang Badak.
Dengan prestasi semakin baik dibawah kendalian Dato’ Dollah Salleh, Sabah perlu memandang serius cabaran Sri Pahang meskipun menang dalam pertemuan pusingan pertama.
Mereka tiada tekanan selain memburu kedudukan terbaik sahaja, berbeza dengan Sabah yang memerlukan kemenangan.
Perlawanan menentang Penang sepatutnya mereka tidak menghadapi masalah besar untuk dapatkan tiga mata penting namun harus berwaspada agar tidak menjadi kejutan seperti mana Harimau Kumbang menewaskan Terengganu.
Dan lawan paling sukar untuk Kim Swee adalah pendahulu liga iaitu JDT. Mereka akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan terakhir.
Tugas pastinya sukar kerana JDT juga ingin memburu kemenangan untuk meraih kejuaraan di halaman sendiri sambil menyaksikan pertunjukkan bunga api selepas perlawanan.
Boleh jadi juga bahawa perlawanan terakhir liga ini jadi penentu pasukan mana mendapat slot Piala AFC tahun depan.
Melihat pelaburan yang dilakukan oleh Sabah pada tahun ini, mereka sepatutnya mampu menamatkan saingan liga selaku naib johan agar musim hadapan dapat menarik lebih ramai pemain ternama menyertai pasukan dari Borneo itu.
Pihak pengurusan Sabah dan para pemain perlu sedar kedudukan mereka ketika ini belum lagi selamat dan ada beberapa pasukan yang mampu memusnahkan impian mereka jika tersilap percaturan.