Saingan suku akhir Piala Malaysia 2023 terus bersambung pada malam ini dengan membabitkan pertemuan antara Negeri Sembilan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Aksi terdahulu menyaksikan Negeri Sembilan tersungkur di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi , selepas mereka mencatat kekalahan 0-3 di tangan JDT walaupun memiliki kelebihan berakdi di laman sendiri.
Hari perlawanan!
Negeri Sembilan FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim malam ini dalam aksi kedua suku akhir Piala Malaysia bertemu JDT FC.
Sepak mula perlawanan ialah pada jam 9 malam.#NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/Dci6fIJVGE
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) September 23, 2023
Pada perlawanan tersebut, Negeri Sembilan tampil dengan sedikit longlai untuk membenarkan pelawat mendahului dengan tiga jaringan menerusi Arif Aiman Hanapi serta dua gol peribadi hasil ledakan Bergson da Silva.
Walaupun begitu, kelibat penjaga gol muda Negeri Sembilan iaitu Firdaus Irman mencuri tumpuan selepas tangkas menyelamatkan banyak percubaan berbahaya daripada JDT sepanjang aksi berlangsung.
Jika dilihat pada prestasi semasa, segalanya memihak kepada JDT untuk sekali lagi unggul merekodkan kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Apatah lagi mereka masih berada dalam momentum terbaik biarpun mencatat kekalahan baru-baru ini di tangan Kawasaki Frontale bagi aksi peringkat kumpulan saingan ACL.
Berdasarkan prestasi semasa ditampilkan, skuad kendalian Esteban Solari tidak memiliki masalah untuk mengatasi Negeri Sembilan yang tampil serba kekurangan di segenap posisi bagi melangkah ke peringkat seterusnya.
Malah, rekod pertemuan sebanyak tiga kali membabitkan pasukan tersebut juga menunjukkan ia memihak kepada JDT yang melakar bersih semua kemenangan tanpa bolos.
Skuad kendalian K. Devan juga sudah tentu tidak rela sejarah bulan Mac lalu berulang ketika Negeri Sembilan mencatat kekalahan besar 0-7 di tangan JDT ketika aksi Liga Super di SSI.
Menyedari kelemahan dimiliki pasukan beliau ketika bertemu gergasi bola sepak Malaysia minggu lalu, sudah tentu pengendali ini mempunyai rencana untuk cuba mencipta kejutan di gelanggang lawan.
Walaupun ianya dianggap mustahil, namun segalanya mungkin boleh dicapai sekiranya Devan memberi fokus kepada isu stamina pemain di atas padang serta lebih berdisiplin ketika bertahan.
Tamat perlawanan. Skuad Jang tewas 0 – 3 kepada Johor Darul Ta'zim FC. #PialaMalaysia2023 #NSFC#HobinJangHobin pic.twitter.com/JUeg420UtT
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) September 13, 2023
Cuma isu ketika ini yang dianggap kurang baik buat pasukan terarah kepada posisi serangan mereka yang terlalu tumpul selepas ianya dibuktikan pada perlawanan terdahulu untuk Negeri Sembilan mendapatkan jaringan.
Apapun, ini merupakan satu lagi perlawanan tumpuan yang sudah tentu kedua pasukan tidak rela membuat sebarang kesilapan dalam misi untuk mengatasi antara satu sama lain.