Melaka United telah membawa masuk secara pinjaman bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hasbullah Abu Bakar untuk menempuhi saingan Liga Super 2021.
Turut menyertai Hasbullah untuk bertukar angin ke Melaka United dari JDT adalah bek kanan, Che Rashid Che Halim dan pemain sayap menyerang, S. Kumaahran. Ia mungkin adalah untuk memberikan mereka lebih ruang untuk tampil beraksi.
Begitupun, selain bek tengah import, Jang Suk-won yang kekal untuk musim ketiganya, skuad Hang Tuah juga memiliki dua bek tengah berpengalaman iaitu Razman Roslan dan Khairul Helmi Johari yang dibawa masuk dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Melaka United buat pusingan U apabila kembali kekalkan pemain berpengalaman Razman Roslan untuk cabaran musim depan.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) December 29, 2020
Siapa gandingan Jang Suk-won musim 2020?
Jang Suk-won adalah bek tengah yang sukar digugat posisinya. Selaku pemain import, sudah tentu beliau menjadi pilihan utama untuk berada dalam kesebelasan utama.
Pemain yang berasal dari Korea Selatan itu telah tampil hampir 30 perlawanan Liga Super bersama mereka dengan meraih 2428 minit permainan dalam tempoh dua musim. Musim lalu, beliau telah tampil 10 daripada 11 perlawanan Liga Super.
Oleh itu, kita sedang melihat kepada prospek gandingan buatnya di antara tiga pemain tersebut iaitu Razman Roslan, Khairul Helmi Johari dan Hasbullah Abu Bakar.
Untuk musim 2020, Razman Roslan paling banyak berganding bersamanya sebanyak lima kali, diikuti pemain import dari Thailand, Narupon Wild (2 kali), Khair Jones (2 kali) dan Annas Rahmat (1 kali). Untuk musim depan, Melaka United hanya mengekalkan Razman Roslan dan membawa masuk Khairul Helmi dan Hasbullah Abu Bakar.
Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari dan Abdul Hadi Hamid akan beraksi dalam final Piala FA ke-5, kesemuanya bersama Kedah.
Mereka menang tiga dari empat aksi sebelum ini (2007, 2008, 2017).#ShopeePialaFA2019#SemuanyaBOLA pic.twitter.com/kC8nVBiGz7
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) July 27, 2019
Mampukah Khairul Helmi buat ‘comeback’?
Berusia 36 tahun, Razman Roslan merupakan antara ‘otai’ yang masih beraksi di saingan Liga Malaysia. Adakah beliau mampu memerah lagi kudratnya sebagaimana sebelum ini? Dua musim di Melaka United, Razman Roslan hanya mampu beraksi kurang lebih, separuh daripada jumlah keseluruhan perlawanan liga.
Untuk Khairul Helmi pula, beliau sudah agak lama tidak beraksi secara konsisten disebabkan faktor usia dan kehendak pasukan. Bersama Kedah, beliau dilihat sudah hilang tempat dalam dua musim terkini, di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
Sebelum itu, beliau pernah mengemudi Kedah selaku kapten pada musim 2016 dan 2017, di mana Kedah telah meraih trofi Piala Malaysia edisi 2016, Piala Sumbangsih (2017) dan Piala FA (2017). Kini berusia 32 tahun, beliau hanya tampil beraksi beberapa kali – dalam dua musim terkini, yang akhirnya membawa kepada perpindahannya.
Dari segi usia, beliau masih boleh dianggap pencabar yang kompetan kepada Razman Roslan, namun dengan hanya 368 minit penampilan dalam dua musim di Kedah, sentuhannya pasti sudah ‘berkarat’ dan perlukan lebih banyak aksi untuk ‘comeback’.
PEMAIN-PEMAIN MUDA YANG MENARIK
• Amer Saidin – 24 tahun
• Md Rozaimi – 24 tahun
• Afiq Fazail – 22 tahun
• Hasbullah Abu Bakar – 22 tahun pic.twitter.com/IBoD5o7Kbx— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 2, 2016
Siapa pula Hasbullah Abu Bakar?
Berusia 26 tahun, seharusnya Hasbullah telah menjadi tonggak kepada mana-mana pasukan yang diwakilinya. Namun, apabila bercakap tentang JDT, sukar buat pemain yang bersama pasukan sejak 2014 itu untuk memecah masuk ke skuad utama.
JDT adalah pasukan yang dipenuhi bintang dan sebagai pemain yang bermula bersama Johor FC sejak dari usia muda, sangat sukar buatnya untuk membuktikan keupayaannya tatkala berdepan deretan pemain yang jauh lebih berpengalaman.
Hasbullah pernah beberapa kali diletakkan dalam skuad utama JDT, malah pernah tampil beraksi sepanjang 90 minit dalam perlawanan Liga Super 2017 menentang Sarawak, namun beliau gagal menjadikan posisi itu milik kekalnya.
Adakah ini peluang buatnya untuk membuktikan kemampuan dirinya? Adakah Razman Roslan dan Khairul Helmi boleh mengetepikannya? Bersama JDT II, Hasbullah boleh dianggap sebagai ‘regular’ apabila diturunkan dalam enam daripada 11 perlawanan dan membantu mereka menamatkan musim di kedudukan ke-5 Liga Premier.
Dari segi usia dan minit permainan di Liga Premier musim lalu – 540 daripada 990 minit, wajar untuk Melaka United memberikan ruang buat Hasbullah mencetak namanya dalam kesebelasan utama daripada terus menagih kudrat ‘kuda tua’.
KREDIT FEATURED IMAGE: ROTP, MELAKA UNITED, JST
Baca lagi artikel lain mengenai Melaka United:
Melaka United: Contoh Budaya Biar Papa Asal Bergaya Dalam Liga Malaysia
Adakah Melaka United Akan ‘Tewas’ Sebelum Gelanggang Liga Super Dibuka?
Pengganti Khairul Helmi Dikenal Pasti, Tapi Benteng Kedah Tetap ‘Bergelora’